Belum ada kata putus, Jese harap masih miliki masa depan bersama JDT


  • Podium
  • Selasa, 13 Mei 2025

Bekas penyerang Real Madrid itu mengakui dirinya sudah menemui keselesaan bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

LAPORAN kini kuat mengatakan Johor Darul Ta'zim (JDT) akan membuat rombakan terhadap skuad yang masih mendominasi arena bola sepak tanah air, namun bergelut untuk menjadi antara kelab terbaik di Asia.

Jadi, tidak terkejut sekiranya kelab Selatan tanah air tersebut akan menunjukkan jalan keluar kepada mana-mana pemain yang dianggap kurang memberi impak dalam Liga Super mahupun dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Antara yang dijangka mengalami nasib demikian ialah bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez yang hanya mencatatkan empat gol dan dua bantuan jaringan daripada 14 penampilan.

BACA LAGI: Lepas 6 tahun kemarau piala, Jese Rodriguez akhirnya rangkul trofi pertama di Asia bersama JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Gol debut Asia Jese bantu JDT 'mendonia' hingga ke La Liga

Keyakinan Jese mula terserlah sejak penyerang kelahiran Sepanyol itu menyertai skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Pulangan itu adalah sedikit mengecewakan kerana dia yang disambar pada Oktober lalu amat diharapkan dapat membawa skuad Harimau Selatan ke tahap lebih baik di pentas Asia.

Namun, kecederaan lampau dialami menyaksikannya terpaksa berehat terlebih dahulu untuk mendapatkan rawatan selain menyaksikan peluangnya beraksi secara kerap tidak kesampaian.

Bagaimanapun, Jese masih mengharapkan kontraknya dapat dilanjutkan JDT kerana dia sudah selesa sepanjang kira-kira lapan bulan bersama jaguh Liga Super tersebut berbanding kelab terdahulunya.

"Perbincangan kami sebelum ini mengatakan terdapat pilihan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan saya selama dua tahun, namun ia bergantung kepada persembahan saya. Tetapi, sekiranya mereka gembira akan sumbangan saya, saya juga pasti akan gembira.

"Saya berasa saya sudah menemui tempat yang melayani saya dengan baik dan di mana saya beraksi, saya berasa selesa. Jadi, apa yang penting adalah mendapatkan kestabilan yang bertahun-tahun saya harapkan," katanya berdasarkan laporan media antarabangsa, Estadio Deportivo.

Jese beraksi di Brazil sebelum menyertai skuad Harimau Selatan pada Oktober lalu. Agensi

Sebelum menyertai skuad Harimau Selatan, Jese beraksi di kelab divisyen kedua Brazil, Coritiba selepas beberapa musim bergelut mencari pasukan di Eropah yang pasti memberi impak terhadap keyakinannya.

Bagaimanapun, perbezaan dapat disaksikan sejak penyerang berusia 32 tahun terbabit bersama JDT kerana dia kembali bersinar di atas padang dengan laporan turut menyebut berat badannya menurun sebanyak lapan kilogram.

Meskipun belum memberi impak seperti mana pernah dipamerkan di Eropah, pendedahan dibawa Jese ke kelab berkenaan amat menguntungkan kerana peminat bola sepak di Sepanyol sudah semakin mengenali mereka.

"Beraksi dalam liga yang agak baik dan cukup bagus. Sejujurnya, kami merupakan pasukan yang cemerlang dan kami berjaya menghadiahkan pasukan ini kejuaraan dengan gol dicatatkan.

"Saya berasa amat gembira dan menyedari akan perbezaan setiap kali beraksi yang sudah tentu menjadi sasaran sebenar. Tetapi, ini adalah masanya untuk kami terus melangkah lebih jauh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram