Angkara lantang, Safuwan alami nasib 'dibeku' seperti bekas tonggak TFC, bintang JDT


  • Podium
  • Khamis, 26 Jun 2025

Safuwan sebelum ini menyatakan bahawa dia tidak lagi diperlukan dalam pasukan dan memilih untuk mencari peluang lain yang lebih sesuai dengan perancangannya. — Facebook/Selangorfc

BEK tengah Singapura, Safuwan Baharudin berkongsi perkembangan terkininya bersama Selangor FC apabila difahamkan dia sedang menjalani latihan pra-musim bersama Selangor Bawah 23 Tahun (B-23) atau Selangor II. 

Masa depan Safuwan menjadi antara yang hangat dibincangkan selepas pemain itu mengesahkan bahawa dia tidak lagi diperlukan oleh Selangor FC meskipun memiliki kontrak setahun bersama kelab tersebut.  

Safuwan menjelaskan bahawa keputusan untuk meninggalkan kelab Lembah Klang dibuat kerana tidak dimasukkan dalam senarai pemain utama oleh Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi yang juga mesra dipanggil sebagai Kino.

BACA LAGI: 'Saya tak peduli', Kinoshi enggan layan dakwaan Safuwan 'dibuang' Selangor FC

BACA LAGI: Bek muda dari Wolves, Singapura dan Filipina sesuai jadi pengganti Safuwan lepas dibuang Kinoshi

Tangkap layar Insta Story Safuwan. 

Manakala, Kinoshi pula enggan mengulas panjang berhubung kenyataan kontroversi kapten Selangor itu dengan dia menegaskan bahawa fokus utamanya kini adalah membentuk pasukan mantap bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Selepas beberapa minggu berlalu, Safuwan berkongsi bahawa dia berkemungkinan akan membantu skuad simpanan Selangor yang bersaing dalam saingan Liga A1 Semi-Pro. 

Sekiranya benar Safuwan akan memperkuatkan Selangor II, ia dilihat seolah-olah bentuk hukuman daripada pihak pengurusan susulan kelantangannya bersuara mengenai isu berkaitan kontraknya bersama pasukan utama.

Sekiranya pihak pengurusan 'membekukan' Safuwan di Selangor II, pemain kebangsaan Singapura itu menerima nasib sama seperti dua pemain Liga Malaysia sebelum ini yang juga pernah lantang bersuara. 

1) Syafiq Ahmad 

Syafiq masih berada dalam perancangan JDT untuk musim 2025/2026. — Facebook/JDT

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad pernah menarik perhatian selepas kenyataan terbukanya di media sosial mengenai rasa seronok melihat rakan sepasukan beraksi pada kempen 2021. 

Kenyataan 'seronok tengok kawan-kawan main bola' pada platform Twitter (X) itu dibuat selepas Syafiq tidak diturunkan dalam skuad utama dalam beberapa perlawanan kompetitif pada tahun berkenaan. 

Tuanku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab JDT juga memuat naik Insta story dengan menegur tindakan kurang profesional pemain tersebut.

Menurut beliau, JDT merupakan kelab bola sepak dan semua pihak perlu bekerja keras untuk mendapat tempat untuk bermain. 

Sedar akan keterlanjuran yang dilakukan, bekas penyerang kebangsaan itu sudah tampil membuat permohonan maaf kepada rakan sepasukan, kelab JDT dan terutama sekali kepada TMJ atas kesilapan yang telah dilakukan.

Meskipun sudah meminta maaf, Syafiq bagaimanapaun dilihat banyak menjalani latihan bersama skuad kedua JDT dengan ia ditafsir sebagai satu bentuk tindakan disiplin atau penilaian semula prestasi.

Pada kempen 2021 menyaksikan Syafiq hanya beraksi dalam 15 perlawanan domestik dan selepas itu pemain berkenaan dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC sebelum akhirnya kembali ke pangkuan majikannya. 

2) Jordan Mintah 

Mintah menyarung jersi TFC dari musim 2020 hingga 2023. — Facebook/TFC

Bekas penyerang Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah pernah tidak berada dalam senarai pasukan utama pada kempen 2023 meskipun mempamerkan aksi konsisten, sebaliknya hanya bermain dengan skuad 'adik' Terengganu FC II. 

Kali terakhir Mintah beraksi bersama TFC pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada 25 Jun 2023 sebelum skuad Penyu tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan sehingga masa tambahan terikat tanpa jaringan.

Difahamkan selepas perlawanan itu, berlaku 'perang mulut' antara Tomislav Steinbruckner dan Mintah berhubung isu sepakan penalti sehingga menyaksikan penyerang berusia 28 tahun itu disisihkan dalam skuad TFC.

Menerusi penjelasan Steinbruckner, keputusan menyisihkan Mintah diambil atas faktor disiplin susulan keengganan pemain itu mengambil sepakan penalti dalam aksi separuh akhir Piala FA bertemu KL City. 

Meskipun Mintah tidak memberi sebarang kenyataan dan ejennya iaitu Wan Anwari Wan Amran menafikan perkara berkenaa namun hukuman bermain dengan skuad simpanan TFC menyimpulkan kejadian berkenaan. 

Selepas musim 2023 berakhir, Mintah tidak lagi menyarung jersi TFC dengan pemain kelahiran Ghana itu berhijrah ke Kuching City dan menjadi pemain penting dalam skuad The Cats. Mintah mencetak 15 gol dan dua bantuan jaringan dalam 28 penampilan untuk Kuching City. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram