Boleh pecah rekod saya, tapi biarlah anak tempatan — Indra Putra Mahayuddin


  • Podium
  • Selasa, 24 Jun 2025

Indra Putra (kiri) ketika beraksi bersama EX-TRW dalam aksi persahabatan berdepan EX-Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu baru-baru ini. — Facebook/TRW12

BEKAS penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin menyuarakan pandangan mengenai cabaran yang dihadapi oleh penggempur tempatan dalam saingan Liga Malaysia ketika ini, khususnya apabila kebanyakan kelab lebih cenderung mengambil import di bahagian serangan.

Menurutnya, pemain tempatan perlu mempunyai semangat juang tinggi dan sentiasa mencabar diri untuk membuktikan kemampuan mereka bersaing di posisi serangan.

“Saya rasa memang agak sukar untuk penyerang tempatan bersaing di bahagian serangan kerana setiap kali, kelab pasti akan ambil penyerang import.

"Tapi bagi saya, pemain lokal perlu tanam sikap untuk berani mencabar diri dan buktikan kita juga ada penyerang yang berkualiti dan berbisa,” katanya.

BACA LAGI: Keadaan tip-top bertaraf dunia, cuma 3 stadium tanah air sepi 'tak berpenghuni'

BACA LAGI: 'Roket Bosnia' tiba di Pulau Pinang, Sipovac sedia gegar Liga Super bersama Harimau Kumbang

Indra Putra Mahayuddin (kanan) adalah penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dalam Liga Super. Agensi

Beliau menambah, kehadiran pemain import tidak seharusnya dijadikan alasan, sebaliknya satu motivasi untuk menimba ilmu dan memperbaiki mutu permainan sendiri.

“Bila ada pemain import, saya jadikan itu sebagai cabaran dan peluang untuk belajar daripada mereka. Itu yang akan membantu kita jadi penyerang yang lebih tajam dari segi penyudah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Indra turut mengulas pencapaian penyerang import Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva yang hampir memecahkan rekodnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super musim lalu.

“Saya tak kisah kalau rekod saya dipecahkan, apatah lagi oleh pemain import. Tapi kalau boleh, saya lebih gembira kalau rekod itu dipecahkan oleh pemain tempatan. Itu yang saya nak lihat sebenarnya,” jelasnya.

Bergson kini dilihat antara pemain yang semakin hampir untuk memecahkan rekod gol Indra Putra. Facebook/JST

Indra Putra masih memegang status penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, satu pencapaian yang menjadi penanda aras buat penyerang generasi akan datang.

Untuk rekod, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva kini hanya dipisahkan satu gol daripada rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super yang kini dipegang oleh Indra Putra dengan 106 gol.

Setakat ini, penyerang kelahiran Brazil itu telah meledak 105 gol dan dijangka bakal memintas rekod tersebut seawal musim baharu Liga Super yang akan membuka tirai pada Ogos ini.

Sebelum ini, Bergson turut mencipta sejarah apabila merekodkan 32 gol dalam satu musim, rekod baharu sebagai penjaring terbanyak semusim dalam saingan Liga Super.

Dengan ketajaman dan konsistensi yang dimilikinya, Bergson dilihat bakal terus menjadi watak utama di jentera serangan Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram