[VIDEO] Hargai sumbangan bintang warisan, Zainal Abidin ingatkan pemain lokal terimalah revolusi


  • Podium
  • Rabu, 11 Jun 2025

Skuad kebangsaan mencatatkan kemenangan selesa ke atas Vietnam pada Selasa. — Facebook/Malaysia NT

KEMENANGAN memuaskan disaksikan lebih 50,000 peminat Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa apabila skuad kebangsaan mudah menundukkan Vietnam dengan keputusan 4-0.

Keputusan itu diraih dengan bantuan lambakan pemain warisan baharu dalam pasukan, termasuk Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado yang masing-masing mencetak gol dalam penampilan pertama.

Persembahan memukau anak-anak buah Peter Cklamovski yang meraih pujian legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang menzahirkan rasa penghargaan buat semua pihak terlibat dalam revolusi Harimau Malaya.

BACA LAGI: Kurang figura lokal macam Hariss Harun punca sukar tembus tembok FAM, mujur ada Dollah-Zainal

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya dulu bek kanan', Zainal Abidin kongsi kisah perjalanan bertukar jadi peledak berbisa

Aksi memukau dipamerkan Figueiredo ketika debut buat Harimau Malaya. Facebook/Malaysia NT

"Tahniah buat Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tahniah buat Persatuan Bola Sepak Malaysia, tahniah kepada pasukan dan saya terharu atas kehadiran ramai penyokong yang menyaksikan pengakhiran kepada penantian 11 tahun untuk menewaskan Vietnam dengan campuran pemain warisan dan tempatan.

"Ini merupakan satu petanda aras tinggi diletakkan skuad kebangsaan kepada pemain lain untuk mencapai tahap lebih baik. Permulaan baik dan saya harap ia dapat diteruskan dengan saya harap Harimau Malaya dapat kembali digeruni di Asia," katanya.

Dalam aksi pada Selasa, pasukan negara mudah menundukkan Vietnam untuk meraih tiga mata penuh bagi meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan F Kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

Permulaan sedikit kekok disaksikan dalam pertembungan tersebut apabila Harimau Malaya gagal menjaringkan gol pada babak pertama sebelum 'taring' pasukan dipamerkan pada 45 minit kedua.

Gol-gol pasukan negara dicetak menerusi Figueiredo, Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools dengan kemenangan itu turut membantu negara melonjak ke tangga ke-126 dalam ranking dunia FIFA.

Dalam pada itu, Zainal yang berbangga melihat kebangkitan Harimau Malaya turut sempat mengingatkan pemain lokal lain untuk tidak berputus asa dalam merebut tempat masing-masing dalam pasukan.

"Saya mengambil contoh pasukan Jepun, mereka dahulu memiliki pemain warisan. Apabila sudah berada di satu tahap, kita boleh lihat bagaimana pemain tempatan mereka.

"Jadi, ini merupakan petanda baik buat pemain, khususnya yang berada dalam kelompok tempatan kerana mereka dapat lihat standard untuk beraksi buat negara seperti mana kita hendaki," katanya.

Berdasarkan kesebelasan utama pada Selasa, hanya Syihan Hazmi dan Arif Aiman Hanapi berada dalam kategori lokal dengan Nazmi Faiz hanya dimasukkan pada penghujung permainan.

Situasi sebegitu sememangnya menimbulkan kegusaran dalam kalangan peminat yang bagaimanapun perlu mengakui standard pemain tempatan belum cukup untuk merebut tempat dalam senarai pemula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram