[VIDEO] Enggan komen, Zainal Abidin sebaliknya serah pengurusan Imigresen FC jawab khabar angin guna Stadium Darul Aman


  • Podium
  • Rabu, 11 Jun 2025

Penggunaan Stadium Darul Aman boleh menjanjikan kehadiran penyokong buat Imigresen FC.

LANGKAH berani diambil naib juara Liga A1 Semi Pro 2024/25, Imigresen FC apabila memohon lesen kebangsaan bagi menyertai Liga Super musim depan dengan keputusan itu pasti menarik untuk disaksikan.

Ini kerana pasukan tersebut masih belum mempunyai jumlah penyokong yang kukuh meskipun sudah bertahun-tahun ditubuhkan dengan ketiadaan peminat akan menyukarkan usaha menarik tajaan.

Jadi, dalam usaha menyelesaikan masalah berkenaan, Imigresen FC dikhabarkan bakal beraksi di Stadium Darul Aman, Kedah berikutan ketiadaan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super 2025/26.

BACA LAGI: 'Sayap' Kenari bakal bawa Imigresen FC terbang tinggi

BACA LAGI: Tak perlu belanja besar, Imigresen boleh pancing tonggak Kedah, Perak dan bintang buangan Penang

Sekiranya berjaya berbuat demikian, pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris pasti akan berpeluang menarik penyokong dari Negeri Jelapang Padi yang tidak mahu melepaskan peluang menonton aksi divisyen teratas negara.

Bagaimanapun, status sebenar mengenai hasrat tersebut belum diputuskan dengan Datuk Zainal Abidin Hassan yang berada dalam badan pengurusan kelab mengatakan keputusan hanya boleh diberikan pihak atasan.

"Insya-ALLAH, pelesenan untuk ke Liga Super sudah diluluskan, jadi saya membiarkan biar pihak pengurusan Imigresen untuk menjalankan apa yang mereka mahu lakukan. Saya tak boleh komen (mengenai penggunaan Stadium Darul Aman), itu di bidang kuasa pengurusan," katanya.

Zainal berkata demikian ketika ditemui dalam pelancaran Legendary 3v3 Tournament with Tiger Balm di sebuah pusat beli belah sekitar Kuala Lumpur pada Rabu.

Bekas pemain Harimau Malaya itu berada di samping beberapa lagi ikon bola sepak negara seperti Datuk Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh, Zaquan Adha Abdul Radzak serta Khairul Fahmi Che Mat.

Ura-ura mengatakan Imigresen FC akan beraksi di Stadium Darul Aman menimbulkan kerisauan kerana Kedah FA akan turut menggunakannya selepas secara rasmi menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim depan.

Malah, KDA FC yang menggunakan venue tersebut dilaporkan akan turut menjadikannya gelanggang utama mereka sekiranya meraih lesen untuk beraksi dalam saingan peringkat amatur itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram