[VIDEO] 'Saya dulu bek kanan', Zainal Abidin kongsi kisah perjalanan bertukar jadi peledak berbisa


  • Podium
  • Ahad, 30 Mac 2025

Zainal Abidin memulakan karier sebagai pemain di barisan pertahanan sebelum diubah posisi semasa bermain untuk Pahang. — Facebook/Penang FC

NAMA Datuk Zainal Abidin Hassan sememangnya tidak lagi asing dalam kalangan peminat bola sepak tanah air selepas beliau bersinar di atas padang pada era 1980-an dan 1990-an.

Beliau yang beraksi sebagai penyerang pernah membawa cabaran hebat terhadap benteng pertahanan semasa mewakili dua kelab elit tempatan iaitu Selangor dan Pahang.

Tidak terhenti di situ, bakat anak jati Selangor berkenaan juga pernah disaksikan di peringkat antarabangsa apabila dia mencatatkan 78 gol rasmi bersama Harimau Malaya.

BACA LAGI: Liga Super hilang seri tanpa Kedah, Pahang — Zainal

BACA LAGI: ‘Zainal Abidin, Dollah Salleh arif selok-belok dunia bola sepak’

Zainal Abidin mewakili Selangor dan Pahang semasa masih berstatus pemain.

Jadi, tidak hairanlah nama Zainal Abidin diletakkan sebaris penyerang legenda seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Allahyarham Ghani Minhat serta Datuk Dollah Salleh.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa Zainal Abidin memulakan kariernya sebagai bek kanan sebelum posisinya diubah ketika berada di bawah kendalian mendiang Frank Lord semasa di Pahang FA.

Hal tersebut dikongsikan beliau sendiri dengan mengatakan perubahan itu pada awalnya membawa kejanggalan terhadap prestasinya di atas padang, namun ia berjaya diatasi.

"Pasukan sedang mempersiapkan diri untuk berdepan Johor, tetapi saya tidak boleh beraksi dua minggu kerana baru melengkapkan perpindahan. Jadi, skuad utama beraksi berdepan pasukan simpanan yang ketika itu saya diletakkan sebagai bek kanan.

"15 minit kemudian, (Frank Lord) meniup wisel dan mengeluarkan kata-kata kesat. Dia menghentikan sesi sambil mengatakan saya tidak boleh beraksi sebagai pertahanan. Dia kemudian meletakkan saya di barisan serangan," katanya dalam Julang Podcast baru-baru ini.

Selepas memulakan karier di negeri kelahirannya, bekas pemain berusia 63 tahun itu berkelana dan menyertai skuad Tok Gajah yang merupakan salah sebuah kelab terbaik tanah air ketika itu.

Meskipun tidak menjulang sebarang gelaran selama dua tahun di Pantai Timur, pengalaman diraih semasa Pahang jelas membawa impak terhadap beliau, lebih-lebih lagi dengan bakat sebenarnya dikesan Frank Lord.

Jelas beliau lagi, ujian diberikan jurulatih kelahiran England berkenaan tidak terhenti di situ kerana pada hari-hari kemudian, Zainal Abidin diminta untuk menjalani sesi latihan peribadi.

"Bermula keesokan harinya, pada pukul 12 tengah hari, saya datang ke Stadium Darul Makmur tiap-tiap hari. Saya rasa seperti mahu menumbuk sahaja jurulatih ini.

Frank Lord merupakan jurulatih yang bertanggungjawab membawa perubahan hebat terhadap Zainal Abidin.

"Dua minggu rasanya saya terpaksa berlatih. Benda mudah sahaja dia ajar iaitu peranan dan kedudukan seorang penyerang. Memang berkelas dia," kata beliau lagi.

Hasil daripada tunjuk ajar Frank Lord serta kesungguhan peribadi menyaksikan Zainal Abidin merangkul Anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada 1983 meskipun tidak dapat beraksi dalam sembilan perlawanan.

Pencapaian itu berjaya diulangi tiga kali lagi selain berjaya diangkat sebagai antara penyerang terbaik tanah air dengan rekod jaringannya di pentas antarabangsa amat mengagumkan.

Selepas menamatkan karier di atas padang, beliau kemudiannya menceburi bidang kejurulatihan dengan dia pernah mengendalikan beberapa kelab tanah air, termasuk Pahang dan Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram