[VIDEO] Skrip berbeza Figueiredo-Holgado, mesej penting buat fans Vietnam balik awal tinggalkan stadium


  • Podium
  • Selasa, 10 Jun 2025

Skuad kebangsaan (jersi kuning) tidak mempunyai masalah menundukkan seteru Asia Tenggara itu. — Facebook/FAM

HARIMAU Malaya meneruskan rentak cemerlang dalam Kempen Kelayakan Piala Asia 2027 apabila mudah menundukkan Vietnam menerusi keputusan 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ini kemenangan istimewa skuad kebangsaan apabila kali terakhir menewaskan Vietnam adalah lebih sedekad lepas di peringkat separuh akhir Piala AFF 2014 di Hanoi.

Perlawanan itu dimulakan dengan skuad kebangsaan sedikit bergelut pada babak pertama, namun berjaya mendapatkan kelebihan pada separuh masa kedua menerusi serangan pantas.

BACA LAGI: Pernah bersama wonderkid Man United dan Arsenal, Joao Figuerdo mampu buat Harimau Malaya mengaum

BACA LAGI: Miliki pengalaman di Vietnam, bintang JDT jadi 'ejen' Harimau Malaya

Ini dimulakan dengan gol penyerang yang memukau sepanjang berada di atas padang, Joao Figueiredo dengan percubaannya terbias mengenai pertahanan lawan sebelum meletakkan negara di depan.

Genap 10 minit kemudian, kelebihan Harimau Malaya digandakan selepas Rodrigo Holgado menampan masuk hantaran lintang rendah Arif Aiman Hanapi untuk memastikan kedudukan 2-0.

Meskipun debutnya tidaklah sebaik Figueiredo, jaringan berkenaan sudah tentu cukup menenangkan, lebih-lebih lagi selepas dia mengalami kecederaan kepala yang menyukarnya mencipta keserasian.

Malam menakjubkan buat Harimau Malaya diteruskan apabila giliran bek kiri, Corbin Ong meletakkan nama dalam senarai penjaring dengan Arif Aiman sekali lagi menjadi watak utama.

Jaringan pada minit ke-67 itu sememangnya sukar ditelan penyokong Vietnam yang mula meninggalkan Stadium Nasional Bukit Jalil memasuki minit ke-70 selepas masing-masing menyedari peluang mereka semakin tipis.

Jangkaan peminat pasukan pelawat tepat apabila pemain baharu Cerezo Osaka, Dion Cools mencetak gol keempat negara untuk memastikan kemenangan bergaya menjadi milik Harimau Malaya.

Tiga mata dikutip di laman sendiri itu meletakkan skuad bimbingan Peter Cklamovski di tangga teratas Kumpulan F dalam Kempen Kelayakan Piala Asia 2027 diikuti Vietnam, Laos dan Nepal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram