Berebut posisi, tak mustahil Hector Hevel bikin 3 midfielder JDT 'gigit jari'


  • Podium
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Kehadiran Hevel dijangka memperkukuh barisan tengah dan memaksa pengurusan menilai semula senarai pemain musim hadapan. — Facebook/Malaysia NT

KANCAH bola sepak tanah air dikejutkan dengan pengesahan pemain warisan skuad kebangsaan, Hector Hevel yang akan menyertai kelab gergasi Johor Darul Ta'zim (JDT) musim depan.

Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh Hevel kepada media, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya sebelum ini.

Kedatangan pemain tengah berbakat itu ke juara Liga Super 11 kali pastinya akan memberi impak besar kepada skuad JDT, yang dijangka terpaksa membuat keputusan sukar mengenai pemain yang akan dikekalkan atau dilepaskan bagi musim akan datang.

BACA LAGI: Ada kualiti beraksi di pentas Eropah, tak mustahil ramai lagi pemain warisan ikut Hector Hevel bersama JDT

BACA LAGI: [VIDEO] 'Coach Kino tak nak saya', Safuwan buka pekung kenapa tinggalkan Selangor

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang berpotensi ‘terkorban’ menjelang ketibaan Hevel ke pasukan Harimau Selatan.

1) Jalil Elias

Pemain tengah dengan nilai perpindahan tertinggi, Jalil Elias dijangka akan terus kekal bersama JDT selepas hasratnya untuk kembali menyertai kelab lamanya, San Lorenzo tidak kesampaian.

Menurut laporan, San Lorenzo gagal mendapatkan semula khidmat Elias disebabkan isu pendaftaran pemain, susulan perpindahan pemain tengah mereka, Elian Irala ke SC Internacional yang tidak dapat direalisasikan.

Akibat situasi tersebut, Elias dijangka akan kembali memperkukuhkan barisan tengah Harimau Selatan musim depan, sekiranya kontraknya bersama JDT diperbaharui.

Sekiranya Jalil Elias kekal di JDT, persaingan sengit di bahagian tengah bakal tercetus. Facebook/JST

Kehadiran Hector Hevel ke JDT bagaimanapun dijangka mencetuskan persaingan sengit di posisi tengah, memandangkan Hevel terkenal dengan keupayaannya mengawal tempo permainan dan kreativiti dalam merancang serangan pasukan.

Untuk rekod, Jalil Elias hanya sempat beraksi selama 69 minit bersama JDT dalam perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 Mei 2024.

Rekod itu secara tidak langsung membuka ruang buat Hevel untuk muncul sebagai pilihan utama di bahagian tengah.

2) Nazmi Faiz Mansor

Nama pemain tengah Nazmi Faiz Mansor sudah terpahat dalam senarai pemain JDT sejak musim 2016 dan musim hadapan menandakan genap sedekad dia bersama Harimau Selatan.

Namun, perjalanan Nazmi bersama JDT tidak semudah yang disangka kerana dia kerap diletakkan di bangku simpanan dan pernah memberi isyarat mahu meninggalkan kelab.

Dengan ketibaan Hevel ke JDT mungkin akan menjadi cabaran buat Nazmi. Facebook/JST

Walaupun begitu, sumbangannya musim ini agak memberangsangkan. Dalam saingan Liga Super, Nazmi beraksi sebanyak 18 kali dan mencatat lima bantuan gol, selain memainkan peranan penting dalam kempen Piala Malaysia dengan empat bantuan gol.

Kedatangan pemain baru, Hevel, dijangka memberi cabaran hebat buat Nazmi, namun kualiti dan pengalaman yang dimilikinya dijangka membantu dia terus kekal dalam skuad JDT.

3) Endrick dos Santos

Seorang lagi pemain yang dijangka berdepan cabaran dengan ketibaan Hevel ialah Endrick dos Santos.

Pemain naturalisasi kebangsaan itu banyak menghabiskan musim ini bermain di luar negara bersama Ho Chi Minh City di Vietnam.

Endrick (kanan) ketika ini menampilkan prestasi cemerlang di Vietnam. Agensi

Sepanjang bersama kelab tersebut, Endrick tampil dalam 23 perlawanan, menjaringkan dua gol dan menyumbang lima bantuan gol, selain memegang peranan penting dalam pasukan.

Walaupun prestasinya menyerlah, Endrick perlu berwaspada dengan kemunculan Hevel agar tidak terpinggir daripada skuad JDT pada musim hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram