
SEJARAH baharu tercipta dalam arena bola sepak Asia selepas dua negara iaitu Jordan dan Uzbekistan mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Pencapaian tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan tersebut bersaing dalam kejohanan ulung itu buat kali pertama dalam sejarah dengan ia pasti membuatkannya lebih menarik untuk ditonton.
Perasaan itu turut dirasakan peminat bola sepak tempatan kerana dua negara tersebut dibarisi pemain yang pernah beraksi di Liga Super, iaitu Noor al-Rawabdeh, Yazan Al Arab, Muhammad Abualnadi dan Ali Olwan buat Jordan sementara Umarbek Eshmurodov merupakan tonggak Uzbekistan.
BACA LAGI: Indonesia tidak lagi seperti dulu, FAM terlepas uji kematangan HM berdepan musuh tradisi
BACA LAGI: Dari Malaga ke Selangor, kenali siapakah Juanpi bakal pengganti Yohandry Orozco
Uzbekistan dan Jordan akan beraksi di Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah. — Instagram/FIFA
Kesemua nama yang berada dalam senarai di atas mempunyai pengalaman bersama Selangor FC dengan ini menzahirkan perasaan bangga kerana mereka berpeluang muncul di kaca televisyen bagi Piala Dunia tahun depan.
Namun, senarai tersebut tidak hanya terhenti di situ kerana berdasarkan pengamatan semasa, masih terdapat lambakan import Liga Super yang boleh membantu negara masing-masing mencipta sejarah sedemikian.
Ini kerana melihat kepada kempen kelayakan setakat ini, tiga pasukan yang dibarisi bintang kelab tempatan masih berpotensi meletakkan diri dalam senarai 48 pasukan bagi Piala Dunia 2026.
1. Alvin Fortes (Selangor FC)
Selain Uzbekistan dan Jordan, beberapa negara lain masih bercita-cita besar menempa tempat dalam Piala Dunia buat kali pertama, termasuk Cape Verde yang masih dalam kempen kelayakan.
Mereka kini berada di tangga teratas Kumpulan D yang menyaksikan mereka memiliki kelebihan satu mata berbanding gergasi bola sepak Afrika, Cameroon dengan hanya empat aksi berbaki.
Bagaimanapun, kelebihan seperti memihak kepada Cape Verde kerana masih mempunyai lambakan pemain yang boleh diturunkan, termasuk tonggak Selangor FC, Alvin Fortes yang dipanggil baru-baru ini.
Alvin Fortes dipanggil mewakili Cape Verde baru-baru ini. — Instagram/Alvin Fortes
Dia yang mencipta debut pada 2018 terpaksa menunggu kira-kira tujuh tahun untuk sekali lagi mewakili negaranya apabila dipanggil ketika aksi persahabatan berdepan Harimau Malaya di tanah air bulan lalu.
Meskipun tidak memberi impak seperti mana diharapkan, kepercayaan diberikan memberi isyarat tidak mustahil Alvin Fortes akan diberi peluang bagi kempen kelayakan dalam usaha Cape Verde melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama.
2. Nelson Bonilla (Terengganu FC)
Pada awal kehadiran Nelson Bonilla ke Terengganu FC pada Ogos tahun lalu, ramai menjangkakan satu ledakan membanggakan kerana penyerang tersebut merupakan kapten di negara kelahirannya, El Salvador dengan 20 gol dicetak dalam 65 penampilan.
Bagaimanapun, sepanjang berada di Pantai Timur, pemain berusia 34 tahun itu bergelut untuk meninggalkan impak kerana hanya merekodkan empat gol dan dua bantuan jaringan daripada 19 penampilan.
Tetapi, Bonilla berpeluang meletakkan namanya dalam kalangan import sukar dilupakan penyokong Sang Penyu sekiranya berjaya mencipta sejarah di pentas antarabangsa bersama pasukannya.
Nelson Bonilla berpeluang mengharumkan nama El Salvador dalam edisi Piala Dunia akan datang. — Agensi
Ini kerana selepas tiga perlawanan Kumpulan D kempen kelayakan, El Salvador berada di tangga kedua dengan mereka hanya perlu menamatkan saingan di kedudukan dua teratas untuk mara ke peringkat ketiga.
Sekiranya berjaya berbuat demikian, negara tersebut akan sekali lagi berentap untuk menamatkan saingan di tangga teratas bagi meraih slot automatik dengan bantuan Bonilla mampu merealisasikan cita-cita berkenaan.
Meskipun kali terakhir dia dipanggil adalah semasa aksi Liga Juara CONCACAF pada November lalu, dia juga pernah terlibat dalam Kempen Kelayakan Piala Dunia dalam dua perlawanan pertama menentang Puerto Rico dan St Vincent.
3. Jordi Amat (JDT)
Baru-baru ini, Indonesia berjaya mengharumkan nama bola sepak di rantau Asia Tenggara selepas meloloskan diri ke pusingan keempat dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 peringkat Asia.
Mereka yang satu-satunya wakil serantau di pentas tersebut sudah mengesahkan kemaraan dengan negara itu masih perlu menunggu keputusan undian untuk melihat sama ada berada di Kumpulan A, B atau C.
Walaupun usaha itu masih belum membuahkan hasil, Indonesia dijangka mampu memberi tentangan hebat untuk beraksi di Piala Dunia buat kali pertama sejak 1938 ketika negara berkenaan masih dikenali sebagai Syarikat Hindia Timur Belanda.
Jordi Amat boleh kembali menjadi watak utama Indonesia ke Piala Dunia 2026. — Agensi
Sekiranya berjaya berbuat demikian, peminat bola sepak tempatan pasti akan tampil menumpang kegembiraan, lebih-lebih lagi penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berpeluang menyaksikan Jordi Amat di pentas Piala Dunia.
Dia yang dipanggil menjadi pemain warisan Indonesia pernah beraksi sebanyak 18 kali buat negara tersebut setakat ini, namun kali terakhir terlibat adalah semasa mereka menentang Jepun di pusingan kedua pada November tahun lalu.
Meskipun penglibatannya masih berkurangan, tidak mustahil pengendali Sang Garuda, Patrick Kluivert akan menurunkannya bagi mengasak serangan pihak lawan dalam aksi berbaki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram