Jangan tunggu lagi, 3 bintang warisan baharu wajar turun berdepan Vietnam


  • Podium
  • Selasa, 10 Jun 2025

Skuad Harimau Malaya pastinya memburu kemenangan penting dalam perlawanan penuh sengit di Bukit Jalil nanti. — Facebook/Malaysia NT

DEBARAN semakin terasa menjelang pertemuan skuad kebangsaan menentang Vietnam dalam perlawanan Kelayakan Pusingan Ketiga Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Skuad Harimau Malaya pastinya memburu kemenangan penting dalam perlawanan penuh sengit ini apatah lagi beraksi di laman sendiri.

Hal ini kerana, Malaysia sudah lebih sedekad tidak pernah menewaskan Vietnam dan kemenangan kali ini diharap dapat memecahkan kebuntuan tersebut.

BACA LAGI: Kos tinggi bukan penghalang, TSM Golf Challenge komited kekalkan yuran percuma

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Terengganu tunai janji pastikan lagu Negaraku bergema di Sepanyol

Pengumuman terbaru mengenai pemain warisan turut menjadi harapan tinggi untuk mengubah nasib skuad kebangsaan di Bukit Jalil nanti.

Penyokong berharap kehadiran pemain warisan berkenaan akan memberikan impak positif dan tidak sia-sia mereka datang berjuang untuk negara.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain warisan yang dijangka diturunkan oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski dalam aksi penuh mendebarkan tersebut.

Kehadiran Joao Figueiredo dalam skuad kebangsaan dijangka bakal menggantikan Paulo Josue atau Romel Morales di posisi serangan. Facebook/Malaysia NT

1. Joao Figueiredo

Penyokong tanah air berharap penyerang baharu Harimau Malaya, Joao Figueiredo diberi peluang mengetuai jentera serangan skuad kebangsaan ketika menentang Vietnam dalam kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2027.

Hal ini kerana, perlawanan itu bukan sekadar pertembungan biasa, malah ia melibatkan maruah negara.

Figueiredo yang baru diumumkan sebagai pemain warisan dijangka membawa ketajaman dan pengalaman berharga, hasil penglibatannya bersama kelab Istanbul Basaksehir di Turki serta pengalamannya beraksi di Eropah.

Susulan kemasukan Figueiredo, ada kemungkinan beberapa pemain sedia ada seperti Paulo Josue dan Romel Morales akan diketepikan bagi memberi ruang kepada penyerang baharu ini dalam skuad Harimau Malaya.

Garces dijangka mengisi kekosongan di posisi pertahanan tengah Harimau Malaya bagi menggantikan Harith Haiqal. Facebook/Malaysia NT

2. ⁠Facundo Garces

Dengan tonggak Sabah FC, Dominic Tan digugurkan daripada skuad kebangsaan akibat kecederaan, peluang kini terbuka luas bagi Facundo Garces untuk menunjukkan prestasi sebenar sebagai bek tengah pasukan.

Walaupun skuad memiliki bek tengah tempatan, Harith Haiqal Adam Afkar, kepercayaan utama pastinya diletakkan pada pemain warisan tersebut untuk memikul tanggungjawab menjaga benteng pertahanan.

Oleh itu, peluang penyokong untuk melihat Garces beraksi sebagai bek tengah di Bukit Jalil semakin hampir menjadi kenyataan, terutama jika jurulatih Cklamovski memilih untuk menggunakan khidmat bek kelahiran Argentina itu.

Marchuca dijangka bergandingan dengan bintang muda JDT, Arif Aiman Hanapi di Bukit Jalil. Facebook/Malaysia NT

3. Imanol Marchuca

Keputusan menurunkan pemain warisan, Imanol Marchuca menunjukkan keyakinan jurulatih terhadap pengalaman dan kemahiran teknikalnya.

Marchuca dijangka menambah dimensi baharu di bahagian sayap bersama bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang bakal meningkatkan kekuatan serangan skuad kebangsaan.

Namun, kehadiran Marchuca berkemungkinan mengurangkan peluang pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim.

Begitupun, pilihan tersebut bergantung pada strategi Cklamovski untuk menghadapi cabaran getir dari Vietnam, sambil memberi harapan agar skuad mampu tampil lebih mantap dan meraih kemenangan penting. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram