
BEKAS kapten Johor Darul Ta’azim (JDT), Hariss Harun dilantik sebagai salah seorang Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dengan menjadi sebahagian daripada barisan kepimpinan baharu yang diketuai pemilik Lion City Sailors (LCS), Forrest Li untuk penggal 2025 hingga 2029.
Pelantikan tonggak skuad kebangsaan Singapura berkenaan sebagai Naib Presiden FAS menjadikan Harris pemain aktif pertama menggalas peranan dalam badan induk bola sepak Singapura itu.
Selain Hariss, pengerusi Hougang United dan Tiong Bahru FC, Bill Ng; Pengurus Besar LCS, Tan Li Yu dan Ketua Staf Burnley, Sean Bai turut menggalas peranan sebagai Naib Presiden FAS.
BACA LAGI: 'Pelantikan Cheng Hoe inisiatif baik FAM dapatkan ubi muda buat Cklamovski, Nafuzi'
BACA LAGI: 'Liga Super masih sama, tidak kompetitif meskipun tampuk pemerintahan FAM sudah berubah'
Dua lagi legenda bola sepak Singapura turut menyertai barisan kepimpinan baharu FAS iaitu Aleksandar Duric dan Aide Iskandar Sahak. Kedua-duanya masing-masing memenangi dua kerusi Ahli Majlis FAS daripada enam kerusi yang dipertandingkan.
Mengulas lantikan Harris dalam badan induk Singapura itu, pemerhati bola sepak tempatan iaitu Datuk Dr Pekan Ramli bersetuju bahawa ia merupakan langkah yang tepat susulan pemain tersebut juga sudah menunjukkan kepimpinannya bersama skuad kebangsaan.
Selain itu, Pekan juga melihat pemain berusia 34 tahun itu akan bijak membahagikan masanya sebagai pemain kelab dan negara, di samping untuk terlibat dalam urus tadbir bola sepak Singapura.
"Kita lihat Hariss ini pun sahaja seorang pemain yang berbakat tetapi dia telah menunjukkan bakat kepimpinannya sebagai kapten Singapura dan beberapa kelab sebelum ini. Dia juga seorang graduan Diploma Sport & Wellness Management dari Polytechnic Nanyang Singapura. Jadi selain berbakat dia juga ada kelayakan.
"Saya tidak nampak ia boleh menganggu tugasnya di FAS dan karier sebagai pemain bola sepak yang masih aktif. Dia cuma perlu bijak membahagikan masa. Lagipun ini jawatan secara 'voluntarily basis' bukan perlu berada di pejabat sepanjang masa.
"Keluasan negara itu (Singapura) yang boleh 'reachable' hanya sejam dua walau di mana berada memudahkan tugas Hariss," katanya kepada Majoriti yang optimis pemain itu boleh menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
Selain itu, Pekan juga pelantik bekas pemain akan memberi nilai tambah berbeza namun figura bola sepak kebanyakkannya tidak terlalu menonjol dari aspek kepimpinan dan pengurusan.
Jika melihat keadaan terkini, Datuk Dollah Salleh yang dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Datuk Zainal Abidin Hassan pula sebagai ahli jawatankuasa eksekutif (EXCO) FAM merupakan bekas pemain negara terlibat dengan badan induk.
Zainal Abidin (kiri) dan Dollah (kanan) antara bekas pemain menyertai pucuk pimpinan FAM.
"Bekas pemain memimpin pucuk kepimpinan badan bolasepak sesebuah negara bukan suatu kemestian tetapi ia satu nilai tambah sahaja. Bagaimanapun jika pemain itu terbukti memang menonjol atau memilki ciri-ciri seorang pemimpin ia satu kelebihan ketara kepada persatuan itu sendiri.
"Contohnya seperti bekas kapten piala dunia Perancis, Michel Platini hingga dipilih menjadi Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) 2007-2015. Sebenarnya sejak lama dahulu memang ramai bekas-bekas pemain yang berada dalam sistem FAM tetapi lebih kepada aspek kejurulatihan.
"Di Malaysia ini kita ramai figura bolasepak tetapi tidak begitu menonjol dari aspek kepimpinan dan pengurusan. Kebanyakan mereka juga tidak mempunyai kelulusan. Jadi itulah sebabnya kita agak sukar melihat penonjolan bakat mereka untuk berada dalam pengurusan tertinggi FAM.
"Bukan mudah untuk menembusi tembok kebal FAM ini. Kita berharap dengan adanya figura seperti Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin, kesedaran pentingnya bekas pemain dalam pengurusan tertinggi FAM akan semakin terbuka pintunya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram