Bintang Sabah antara 3 alternatif DPMM FC lepas gagal sambar Akhyar Rashid


  • Podium
  • Rabu, 04 Jun 2025

Akhyar sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke DPMM FC sebelum penghijrahan tersebut gagal dimeterai. — Facebook/Terengganu FC

HASRAT pencabar baharu Liga Super, DPMM FC yang hadir sebagai kelab jemputan untuk membawa masuk pemain kebangsaan, Akhyar Rashid tidak kesampaian seperti mana diumumkan pada Isnin.

Dalam kenyataan dikeluarkan itu, pasukan berkenaan menyatakan hasrat itu tidak kesampaian kerana penyerang sayap tersebut masih mempunyai kontrak setahun bersama kelab semasanya, Terengganu FC.

Jadi, perpindahan tersebut gagal dimeterai, sekali gus menyaksikan Akhyar akan terus kekal di Pantai Timur dengan hasrat penyokong menyaksikan perpindahan mega itu belum kesampaian.

BACA LAGI: Akhyar Rashid 'diburu', sasaran terkini DPMM selepas gagal ikat tonggak Sri Pahang

BACA LAGI: 'Sek kito deh', lepak bersama Akhyar Rashid-Eyka Farhana seakan petanda TFC jadi pilihan Luqman Hakim

DPMM FC yang berpangkalan di Brunei mahu membawa masuk lebih ramai pemain lokal.

Bagaimanapun, dengan cita-cita besar dimiliki DPMM FC menjelang saingan Liga Super 2025/26, tidak mustahil sekiranya mereka akan membawa masuk lebih ramai nama dikenali ramai pada jendela perpindahan kali ini.

Selepas hanya membawa masuk Fairuz Zakaria setakat ini, tidak mustahil skuad kendalian Jamie McAllister itu akan turut diperkuatkan pemain lokal, termasuk dalam jentera serangan.

Oleh itu, selepas menyatakan kegagalan mendapatkan khidmat Akhyar, DPMM FC masih berpeluang membawa masuk pemain sayap baharu untuk menambah baik jentera serangan bagi kempen akan datang.

1. Muslihuddin Atiq

Ramai mengetahui bahawa Terengganu FC kerap memberi peluang buat pemain tempatan muda dengan Ubaidullah Shamsul Fazili dan Safwan Mazlan merupakan antara yang kerap diberikan minit permainan.

Bagaimanapun, bagi bakat besar berusia 22 tahun, Muslihuddin Atiq, dia masih bergelut untuk menembusi bakat muda meskipun rata-rata penyokong percaya kebolehannya boleh dimanfaatkan skuad Sang Penyu.

Muslihuddin mempunyai bakat yang bagaimanapun gagal mencuri perhatian skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Ini kerana penampilan terakhirnya buat pasukan utama Terengganu FC adalah dalam saingan Liga Super 2023 ketika mereka berdepan Penang FC di tempat lawan yang mana dia berada dalam kesebelasan utama.

Sejak itu, Muslihuddin tidak merasai sebarang minit bersama skuad senior Sang Penyu kerana dia hanya diturunkan bagi Piala MFL dengan sembilan gol daripada 19 penampilan dicatatkan musim lalu.

Jadi, sekiranya pemain sayap tersebut mahu menikmati peluang lebih kerap dalam Liga Super, perpindahan secara tetap mahupun pinjaman bersama DPMM FC merupakan pilihan terbaik memandangkan kelab itu juga berhasrat menajamkan barisan serangan.

2. Rahmat Makasuf

Rombakan besar dilakukan Penang FC menjelang jendela perpindahan kali ini apabila seramai 23 pemain sudah dilepaskan, termasuk pemain sayap, Rahmat Makasuf yang kurang mencatatkan minit permainan musim lalu.

Dia yang hanya beraksi dalam 11 perlawanan Liga Super 2024/25 gagal memberi impak seperti mana diharapkan selepas hanya mencetak satu gol, sekali gus memaksa pihak pengurusan melepaskan khidmatnya.

Rahmat tidak lagi bersama skuad Harimau Kumbang setelah dilepaskan kelab tersebut. Facebook/Penang FC

Jadi, dengan dia masih belum mempunyai mana-mana destinasi pilihan, DPMM FC boleh menawarkan kontrak berpatutan kepadanya dengan pemain tersebut pasti sukar menolak sebarang tawaran.

Meskipun rekod jaringannya tidaklah begitu baik, Rahmat boleh dikatakan sebagai aset utama pasukan kerana baru berusia 27 tahun selain jarang mengalami masalah kecergasan serius setakat ini.

Ia merupakan satu penambahan yang pasti menarik untuk disaksikan kerana anak jati Kuala Berang, Terengganu itu boleh bergandingan dengan mana-mana penyerang dalam DPMM FC musim depan.

3. Farhan Roslan

Semasa awal penyertaannya bersama Sabah FC, Farhan Roslan sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana barisan kejurulatihan lebih tertarik meletakkan pemain lebih muda atau bintang import.

Kesukaran meraih minit permainan itu menyaksikan penyerang bertubuh kecil tersebut kerap diperam di bangku simpanan sehingga penyokong kadang-kala tidak menyedari keberadaannya dalam pasukan.

Farhan Roslan mula menemui rentak selepas diberi peranan baharu buat skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, musim lalu, pemain berusia 28 tahun berkenaan mula mengubah nasibnya dalam skuad Sang Badak apabila diberi peranan baharu dengan kepercayaan lebih meyakinkan daripada pengendali, Martin Stano.

Ini kerana selain beraksi di posisi sayap, Farhan juga beberapa kali diletakkan sebagai pemain tengah menyerang dengan kelincahannya membuatkan barisan pertahanan lawan sukar mengekang pergerakannya.

Jadi, sekiranya DPMM FC dapat menyambarnya dari Sabah FC, ia akan menjadi satu pelaburan lumayan memandangkan dia sudah bertahun-tahun beraksi dalam Liga Super dengan pelbagai kelab pernah disertainya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram