Akhyar Rashid 'diburu', sasaran terkini DPMM selepas gagal ikat tonggak Sri Pahang


  • Podium
  • Ahad, 01 Jun 2025

Akhyar mencetak 10 gol dan enam bantuan jaringan dalam 37 penampilannya bersama TFC untuk kempen 2024/2025. — Facebook/TFC

SELEPAS usaha mendapatkan pemain pertahanan Sri Pahang FC, Azwan Aripin menemui jalan buntu, DPMM FC kini mengalihkan tumpuan mereka kepada bintang Terengganu FC (TFC) iaitu Akhyar Rashid.

Azwan yang pada awalnya diburu oleh kelab berpangkalan di Brunei itu bagi memperkukuh pasukan khususnya di posisi bek kiri gagal dibawa masuk selepas difahamkan perjanjian tersebut sudah dibatalkan.

Difahamkan, DPMM FC yang merupakan kelab jemputan Liga Super untuk musim 2025/2026 tersebut sedang giat memperkuatkan barisan pemain mereka menjelang jendela perpindahan nanti.

BACA LAGI: DPMM berputih mata, gagal ‘done deal’ bek Pahang seperti mana Fairuz Zakaria

BACA LAGI: DPMM FC makin bernafsu besar, intai peluang sambar bek kiri Tok Gajah

Oleh sebab itu, tidak menghairankan jika Akhyar juga diletakkan dalam başaran mereka selepas laman rasmi DPMM menyatakan bahawa kelab dalam proses berunding untuk mendapatkan tonggak Sang Penyu berkenaan.

Pemain berusia 25 tahun berkenaan merupakan pemain sayap lincah yang cukup dikenali dengan kepantasan dan skil individu, serta berpengalaman luas di pentas domestik dan antarabangsa.

Selepas cemerlang membantu Terengganu untuk kempen 2024/2025, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akhirnya menandatangani kontrak selama dua musim sebagai pemain tetap skuad Penyu pada awal Januari ini.

Hasrat DPMM FC untuk mendapatkan khidmat Azwan Aripin (kanan) tidak kesampaian. — Facebook/Sripahangfc

TFC menerusi kenyataannya pada awal tahun ini mengesahkan pun membuat permohonan rasmi kepada JDT dan diperkenankan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang bersetuju melepaskan pemain tersebut.

Penyerang sayap kiri tersebut mencetak 10 gol dan enam bantuan jaringan dalam 37 penampilannya bersama Terengganu untuk kempen 2024/2025. Statistik itu pasti menjadi salah satu sebab DPMM memburu khidmatnya.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Terengganu FC mahupun wakil pemain mengenai kemungkinan perpindahan tersebut.

Jika perpindahan ini menjadi kenyataan, Akhyar menyertai seorang lagi pemain Malaysia yang juga bekas pertahanan Penang FC iaitu Fairuz Zakaria yang sah menyertai kelab berkenaan lebih awal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram