
KELAB Brunei, DPMM FC mengesahkan kepulangan semula mereka ke Liga Malaysia apabila sah menyertai Liga Super bermula musim 2025/2026.
Kepulangan semula itu disahkan oleh pihak mereka sendiri apabila menandatangani perjanjian penyertaan bersama-sama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam sebuah majlis diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru pada Selasa.
Pengurus Besar DPMM, Md Ali Haji Momin berkata dia berharap pemain akan memperoleh pengalaman berbeza apabila beraksi di Malaysia selepas beraksi di Liga Perdana Singapura (SPL) pada musim lalu.
BACA LAGI: Dilepaskan kelab Australia, Selangor-Sabah-TFC perlu segera sambar Rafael Struick
BACA LAGI: [VIDEO] 'Koyak' kalah main catur, pemain no. 1 dunia hentak meja depan muka pihak lawan
Bagi Md Ali, Liga Super merupakan sebuah jenama yang cukup besar di Asia Tenggara dan penyertaan DPMM dapat meningkatkan profil mereka.
"Kami di pihak DPMM FC pastinya gembira kerana dapat kembali bersaing dalam kancah Liga Malaysia yang memiliki jenama cukup besar di rantau ini.
"Kami sedar dengan kualiti yang ada pada setiap kelab Liga Super yang pastinya memberikan cabaran hebat buat kelab DPMM FC. Ini lah yang kami mahukan dan kami berharap dengan kehadiran DPMM FC dapat turut sama memeriahkan lagi saingan di Liga Super.
"Liga Malaysia memang dekat dengan penyokong-penyokong di Brunei, saya percaya mereka juga tidak sabar dengan penyertaan DPMM FC pada musim baharu ini. Apa yang kami harapkan, cabaran ini akan dapat meningkatkan kualiti pemain kami selain mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara," katanya menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Setakat ini, tidak didedahkan berapa musim penyertaan DPMM dalam Liga Super namun ia dijangka akan merentasi tempoh tiga hingga lima musim.
DPMM menjadi salah satu daripada 14 muka baharu Liga Super bagi musim 2025/2026. Selain mereka, dua kelab dari Liga A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC turut memeriahkan saingan.
Mereka juga sudah mula mendapatkan pemain baharu dengan merekrut bintang Indonesia, Ramadhan Sananta serta pemain Penang FC, Fairuz Zakaria. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram