[VIDEO] 'Dah lama nak jumpa Malaysia', Erick Thohir 'sindir' HM lepas sah jumpa Indonesia di Piala AFF 2025


  • Podium
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Skuad Bawah 23 Tahun Kebangsaan bakal bertemu Indonesia dalam Kejuaraan Asean B-23 Piala Mandiri 2025. — Facebook/Malaysia NT

PRESIDEN Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI), Erick Thohir tidak menyembunyikan rasa terujanya apabila skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia sah bertemu dengan pasukan Indonesia dalam peringkat kumpulan Kejuaraan Asean B-23 Piala Mandiri 2025.

Bagaimanapun, kenyataan beliau dipercayai turut diselit dengan sindiran kepada Harimau Malaya yang sebelum ini gagal memenuhi jemputan perlawanan persahabatan antarabangsa.

Menurut Erick, pertemuan antara Indonesia dan Malaysia sebenarnya sudah lama dinanti-nantikan, namun ia sebelum ini tidak menjadi kenyataan apabila skuad senior Malaysia gagal hadir untuk mengisi slot FIFA Match Day pada September lalu.

BACA LAGI: Pilih tinggalkan padang, 3 pemain termasuk Messi Malaysia pilih gelanggang futsal

BACA LAGI: DPMM berputih mata, gagal ‘done deal’ bek Pahang seperti mana Fairuz Zakaria

 

 

“Memang sudah sekian lama kami mahu bertemu dengan Malaysia dan kami rindu sebenarnya.

"Sebelum ini, kami pernah menjemput pasukan Malaysia untuk isi kekosongan FIFA Calendar Match Day, tetapi ia tidak kesampaian, mungkin kerana pasukan senior mempunyai halangan lain,” katanya dalam hantaran di laman Instagram rasmi miliknya.

Namun kali ini, Erick menegaskan bahawa pertemuan tersebut bukan lagi sekadar jemputan, tetapi sudah menjadi wajib selepas undian rasmi Kejuaraan Asean B-23 diumumkan.

"Tapi kali ini, bukan lagi soal jemputan, sebaliknya kehadiran mereka menjadi kewajipan selepas keputusan undian diumumkan," tambahnya.

Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Indonesia serta Filipina dan Brunei. Kumpulan B pula menampilkan juara bertahan Vietnam, Kemboja dan Laos, manakala Kumpulan C dibarisi Thailand, Myanmar dan Timor-Leste.

Skuad muda kebangsaan di bawah kendalian jurulatih Nafuzi Zain dilihat bersedia menghadapi cabaran hebat pada kejohanan tersebut, yang bakal menjadi pentas penting bagi menguji kemampuan dan potensi pemain muda Malaysia.

Pertemuan itu juga menimbulkan ekspektasi tinggi daripada kedua-dua pihak, khususnya dalam usaha memperkukuh persaingan bola sepak di rantau Asean.

Dengan rekod dan sejarah pertembungan yang penuh emosi, aksi kali ini dijangka berlangsung sengit dan penuh dengan semangat juang.

Untuk rekod, Kejuaraan Asean B-23 Piala Mandiri 2025 ini akan berlangsung bermula 15 hingga 29 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram