Dilepaskan kelab Australia, Selangor-Sabah-TFC perlu segera sambar Rafael Struick


  • Podium
  • Selasa, 03 Jun 2025

Rafael Struick kini tanpa kelab selepas dilepaskan oleh Brisbane Roar.

PEMAIN skuad kebangsaan Indonesia, Rafael Struick kini tidak mempunyai kelab selepas dia dilepaskan oleh kelab Australia, Brisbane Roar.

Beraksi sebanyak 10 kali dalam saingan liga untuk kelab itu, Struick hanya menjaringkan satu gol memerlukan kelab baharu bagi musim depan.

Mempunyai 23 penampilan bersama skuad Garuda, sudah pasti pemain berusia 22 tahun itu menjadi tumpuan pelbagai kelab termasuklah di Malaysia.

BACA LAGI: Indonesia tidak lagi seperti dulu, FAM terlepas uji kematangan HM berdepan musuh tradisi

BACA LAGI: 'Yang penting lawan Indonesia menang,' Nafuzi Zain diuji bertemu musuh tradisi Piala Asean B-23

Selangor FC

Sudah pasti kelab yang mungkin meletakkan pemerhatian terhadap Struick adalah Selangor FC yang akan mewakili Malaysia di peringkat Asia Tenggara dan Asia musim depan.

Pemain sayap kiri itu menepati ciri falsafah bola sepak Selangor yang sering mendapatkan pemain muda. Dengan usianya masih di bawah 23 tahun, tidak terkejut jika Selangor cuba mendapatkannya.

Akan ada persaingan antara Faisal jika Struick ke Selangor.

Dengan dia beraksi sebagai sayap kiri, ia pasti memberikan saingan buat Faisal Halim yang turut bermain di posisi serupa dan itu adalah persaingan sihat yang dialu-alukan.

Akan tetapi, Struick juga boleh beraksi sebagai sayap kanan, jadi dia mungkin boleh ditolak ke sebelah sana bagi membolehkan Faisal turut beraksi.

Sabah FC

Jika tidak ke Lembah Klang, Struick juga dilihat sesuai untuk mencuba nasib dengan melebarkan kariernya bersama Sabah FC.

Kehadiran Struick pastinya akan disambut gembira oleh penyokong-penyokong Sabah kerana dia akan dilihat sebagai penyambung legasi Indonesia di Stadium Likas, Kota Kinabalu selepas pemergian Saddil Ramdani.

Struick boleh menyambung legasi Saddil di Sabah.

Dengan Sabah mula kehilangan beberapa pemain utama, adalah lebih baik untuk mereka cuba mendapatkan Struick sebagai pengganti supaya mereka kekal kompetitif musim depan.

Namun begitu, pastinya Struick akan mempunyai permintaan gaji yang tinggi dan Sabah perlu bersedia untuk itu.

Terengganu FC

Sebuah lagi kelab yang kelihatan sesuai buat Struick adalah dengan menyertai Terengganu FC di Pantai Timur.

Dengan terdapat kedengaran berita pemain sayap mereka, Akhyar Rashid berada dalam radar DPMM FC dan kelab Thailand, Terengganu harus bertindak pantas dalam mendapatkan pengganti.

Akhyar mungkin akan meninggalkan Terengganu.

Selepas kehilangan Safawi Rasid yang kembali ke Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu wajar mendapatkan pemain berkualiti seperti Struick bagi membolehkan mereka mendapatkan musim lebih baik berbanding sebelum ini.

Kehadiran Struick pastinya akan dialu-alukan kerana reputasinya bersama Indonesia dan ia boleh menaikkan kualiti skuad Penyu bagi musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram