'Sek kito deh', lepak bersama Akhyar Rashid-Eyka Farhana seakan petanda TFC jadi pilihan Luqman Hakim


  • Podium
  • Isnin, 19 Mei 2025

Luqman berada dalam buruan beberapa kelab Liga Super selepas kontraknya bersama kelab Eropah tersebut akan tamat tidak lama lagi.

SEHINGGA hari ini, masa depan Luqman Hakim Shamsudin dalam arena bola sepak tanah air belum diputuskan meskipun khabar angin kuat mengatakan dia akan menyertai Negeri Sembilan FC.

Kontraknya bersama kelab Belgium, KV Kortijk dilaporkan bakal berakhir dalam masa terdekat, sekali gus meletakkan tanda noktah terhadap tempoh lima tahun di Eropah yang boleh dikatakan amat mengecewakan.

Ini kerana sepanjang bersama pasukan berkenaan, pemain berusia 23 tahun itu hanya mencatatkan tiga penampilan bersama skuad utama selain dipinjamkan sebanyak dua kali, iaitu ke Iceland dan Jepun.

BACA LAGI: Arif Aiman bertuah berbanding Luqman Hakim, sesuai bermain di rantau Asia Tenggara

BACA LAGI: Masa untuk pulang? Selangor-NSFC-Kedah boleh cuba nasib pikat Luqman Hakim

Tangkap layar dari hantaran Instastory Eyka yang menyaksikan mereka meluangkan masa bersama Luqman Hakim.

Jadi, dalam usaha menghidupkan semula kariernya yang kian pudar, Luqman difahamkan akan menyertai skuad Jang yang akan melakukan rombakan pada pramusim kali ini dengan membawa masuk beberapa pemain baharu.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, bekas pemain muda negara itu dilaporkan boleh memilih Terengganu FC sebagai pasukan baharunya selepas dia meluangkan masa bersama Akhyar Rashid dan isteri, Eyka Farhana baru-baru ini.

Dalam satu perkongsian di Instastory pelakon berkenaan, ketiga-tiga mereka kelihatan bertemu di sebuah kafe yang tidak diketahui lokasinya, namun hantaran tersebut disertakan kapsyen ringkas 'Selamat kembali, sek sek kito deh'.

Luqman sebelum ini sempat menziarahi pasangan tersebut ketika hari perkahwinan mereka dengan ia membuktikan persahabatan antaranya dengan Akhyar yang mungkin ramai peminat kurang mengetahuinya.

Luqman Hakim (kanan) sempat mengunjungi hari perkahwinan antara Akhyar dan Eyka Farhana.

Ini kerana kedua-dua pemain tersebut tidak pernah beraksi dalam pasukan sama kerana Luqman hanya sempat menyertai skuad muda Selangor FC sebelum berkelana ke Belgium pada 2019.

Bagaimanapun, mereka masih boleh berkongsi bilik persalinan bagi kempen akan datang sekiranya pemenang Anugerah Kasut Emas Kejuaraan AFC Bawah 16 Tahun (B-16) itu memilih untuk ke Pantai Timur.

Sebelum ini, laporan mengatakan Terengganu FC sedang sibuk mencari nama-nama baharu untuk mengetuai jentera serangan pasukan dengan Luqman Hakim dan Syafiq Ahmad antara yang berada dalam senarai pendek.

Tetapi, skuad Sang Penyu difahamkan lebih tertarik dengan Syafiq memandangkan bekas bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu lebih berpengalaman meskipun kini bergelut dengan isu kecergasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram