Cunha saja tak cukup, Man United sedia 'sailang' Arsenal pikat striker kelab Jerman


  • Podium
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Manchester United dan Arsenal mempunyai pemain sasaran yang sama pada jendela perpindahan kali ini. — Agensi

DALAM usaha menyelesaikan isu ketumpulan jentera serangan, Manchester United membuat pelaburan £62.5 juta (RM357 juta) untuk mendapatkan Matheus Cunha dari Wolverhampton Wanderes.

Perpindahan itu dilaporkan sudah selesai dimeterai dengan penyerang antarabangsa Brazil tersebut teruja untuk menyertai skuad The Red Devils meskipun mereka tidak akan beraksi di pentas Eropah musim depan.

Bagaimanapun, usaha menajamkan lagi barisan hadapan pasukan tidak terhenti di situ kerana pengurus kelab, Ruben Amorim dilaporkan mahu mendapatkan seorang lagi rekrut di posisi berkenaan.

BACA LAGI: Man United perlu jual 4 bintang demi beli Matheus Cunha

BACA LAGI: Kedudukan tak penting, ramai masih mahu bermain untuk Man United — Amorim

Matheus Cunha dilaporkan sudah menjadi milik skuad The Red Devils. Agensi

Finalis Liga Europa UEFA (UEL) 2024/25 itu sebelum ini dikaitkan dengan tonggak Ipswich Town, Liam Delap yang bagaimanapun enggan memeterai penghijrahan tersebut kerana mahu mendapatkan pengalaman di Eropah.

Jadi, kegagalan mendapatkan pemain antarabangsa England berkenaan memaksa Manchester United mencari sasaran baharu dengan peledak RB Leipzig, Benjamin Sesko menjadi nama baharu yang dikaitkan.

Dia sebelum ini dikatakan berada dalam senarai pendek Arsenal bagi jendela perpindahan akan datang selepas khabar angin mengatakan naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sudah memulakan proses rundingan.

Namun, ura-ura berkenaan tidak menghalang Manchester United untuk cuba menyambar penyerang Slovenia berkenaan selepas ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab, Omar Berrada melakukan penilaian secara peribadi.

Sesko berada dalam senarai pendek kelab-kelab elit sekitar Eropah. Agensi

Perpindahan tersebut sudah tentu menjadi impian buat penyokong The Red Devils yang berpeluang menyaksikan gandingan berbisa itu bagi menggantikan Rasmus Hojlund serta Joshua Zirkzee yang cukup mengecewakan.

Tetapi, nilai ditetapkan RB Leipzig untuk mana-mana pasukan mendapatkan Sesko pasti membebankan Manchester United, iaitu mencecah £67.3 juta (RM385.9 juta) yang akan membebankan struktur kewangan kelab.

Skuad The Red Devils juga berdepan kesukaran dalam memujuk penyerang berkenaan, lebih-lebih lagi sekiranya terdapat kelab berprofil tinggi membuat tawaran pada jendela perpindahan kali ini.

Namun, sekiranya Manchester United berjaya menyambar khidmat Sesko, mereka pasti akan memiliki pasukan lebih baik, sekali gus berpeluang menambah baik kedudukan dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram