Man United kena 'boo' kempunan piala di KL, no 9 Asean dianggap jauh lebih baik berbanding Garnacho


  • Podium
  • Rabu, 28 Mei 2025

Perlawanan cukup mendebarkan disaksikan yang berakhir dengan kekalahan 0-1 kepada Manchester United. — Izzrafiq Alias

MANCHESTER United mengalami kekalahan mengejut 0-1 kepada Asean All Stars dalam perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Perlawanan itu dimulakan dengan skuad The Red Devils dibarisi pemain utama mereka seperti Andre Onana, Rasmus Hojlund serta pemain antarabangsa England, Harry Maguire.

Bagaimanapun, persembahan anak-anak buah Ruben Amorim jelas sedikit mengecewakan apabila pasukan dibarisi bintang sekitar Asia Tenggara beraksi dengan lebih membanggakan.

BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia 'sailang' minit akhir bintang Bayer Leverkusen

BACA LAGI: Amorim jaga hati fans Man United, Mount turun Bukit Jalil untuk menang

Manchester United mengalami kekalahan mengejut kepada Asean All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil. Facebook/Fabrizio Romano

Tumpuan utama sudah tentu diberikan kepada pemain yang memakai jersi no 9, Hai Long Nguyen yang berkali-kali mengucar-ngacirkan benteng skuad The Red Devils.

Persembahan memukau pemain kebangsaan Vietnam tersebut membuatkan orang ramai mengatakan impaknya adalah lebih baik berbanding pemain sayap lawan, Alejandro Garnacho.

"Siapa yang pakai no 9 tu? Macam pelesit pula tengok, berapa kali dia dapat kelirukan barisan pertahanan Manchester United. Lebih baik daripada Garnacho," kata Zamri Rahman.

"Garnacho ni main apa agaknya? Kalau tidak mahu beraksi, lebih baik terus kekal di bangku simpanan. Lebih baik jika Amorim bawa masuk pemain no 9 Asean All Stars itu," kata Normah Ali.

Memasuki babak kedua, finalis Liga Europa UEFA (UEL) itu melakukan pelbagai perubahan untuk mengharapkan perbezaan dengan Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes antara nama baharu yang dibawa masuk.

Garnacho menampilkan aksi mengecewakan dalam aksi di separuh kedua permainan. Agensi

Percaturan Amorim itu bagaimanapun memakan diri apabila pada minit ke-72 permainan, Asean All Stars memecahkan kebuntuan perlawanan apabila Mg Mg Lwin menggegarkan gawang Manchester United.

Selepas menerima hantaran lolos rakan sepasukan, pemain kebangsaan Myanmar itu tenang menewaskan Tom Heaton untuk meletakkan skuad kendalian Sang Sik-kim 1-0 di hadapan.

Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan skuad The Red Devils sekali lagi gagal menjulang trofi musim ini apabila takhta Maybank Challenge Cup Malaysia 2025 menjadi milik Asean All Stars.

Perlawanan itu turut berakhir dengan lebih 75,000 penyokong melaungkan kecaman 'boo' terhadap kelab EPL itu susulan kegagalan menjulang sebarang gelaran, termasuk dalam aksi persahabatan sebegitu.

Malah, perasaan tersebut juga dinyatakan kerana masing-masing kecewa menyaksikan persembahan mengecewakan skuad The Red Devils yang seperti tidak berminat memberikan aksi terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram