Man United perlu jual 4 bintang demi beli Matheus Cunha


  • Podium
  • Rabu, 23 Apr 2025

Cunha menjadi sasaran utama United untuk memperkuatkan jentera serangan di belakang penyerang utama. — Agensi

MANCHESTER United dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat penyerang Brazil, Matheus Cunha namun langkah itu dijangka hanya dapat direalisasikan jika menjual empat pemain utama bagi membiayai perpindahan yang dianggarkan bernilai £62.5 juta (RM376 juta). 

Menurut laporan yang diterbitkan oleh beberapa sumber terkemuka, pemain berusia 25 tahun itu menjadi sasaran utama United untuk memperkuatkan jentera serangan di belakang penyerang utama. 

Pemain Wolverhampton Wanderers tersebut dijangka akan meninggalkan kelabnya pada jendela musim panas nanti, dengan klausa pelepasan membenarkan perpindahan berlaku tanpa halangan.

BACA LAGI: Hojlund dilabel penyerang 'rosak', masa depan bersama Man United makin malap

BACA LAGI: Bermusim-musim dalam buruan, 3 kelab Top EPL termasuk Man United masih gagal 'lock' bintang idaman

Man United kini mendahului beberapa kelab lain termasuk Newcastle United dalam perlumbaan mendapatkan Cunha. Pakar perpindahan, Fabrizio Romano melaporkan bahawa satu pertemuan antara Cunha, ejennya, Ruben Amorim dan pihak pengurusan United berlangsung dengan sangat positif.

"Perasaan antara pihak pemain dan kelab selepas pertemuan baru-baru ini adalah sangat positif. United merasakan mereka kini berada di hadapan dalam perlumbaan menandatangani Cunha," kata Romano dalam kemas kini terbarunya di platform X. 

Namun begitu, perpindahan tersebit bergantung besar kepada situasi kewangan kelab dengan United perlu menjana dana melalui kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) atau melalui hasil jualan pemain. 

Kemenangan dalam kempen Liga Europa bakal membuka laluan ke pentas tertinggi Eropah tetapi jika tidak, Man United perlu melupuskan beberapa pemain untuk membiayai pembelian pemain skuad kebangsaan Brazil itu.

Menurut laporan The Mirror, empat pemain dikenal pasti sebagai aset yang bakal dijual oleh pihak pengurusan Man United ialah Tyrell Malacia, Marcus Rashford, Jadon Sancho, dan Antony.

Pengendali Man United, Ruben Amorim.

Malacia kini dipinjamkan ke PSV Eindhoven, namun kelab Belanda itu tidak bercadang untuk mengaktifkan opsyen pembelian bernilai €10 juta (RM51 juta). 

Sancho pula dilaporkan hampir kekal di Chelsea selepas syarat dalam perjanjian pinjaman dipenuhi berikutan kemenangan Chelsea ke atas Fulham, yang menjamin kedudukan ke-14 atau lebih tinggi dalam Liga Perdana. 

Bagaimanapun, Chelsea masih boleh menarik diri daripada perjanjian tersebut dengan membayar 'denda' sebanyak £5 juta (​​​​​RM29.29 juta) kepada United. Sementara itu, Rashford yang kini dipinjamkan ke Aston Villa mempunyai pilihan pembelian tetap sebanyak £40 juta (RM225.32 juta). 

Memetik laporan The Sun, Aston Villa berminat untuk mengaktifkannya tetapi keputusan rasmi hanya akan dibuat selepas mereka mengetahui status kelayakan ke pertandingan Eropah musim depan.

Empat pemain dikenal pasti sebagai aset yang bakal dijual oleh Man United ialah Malacia, Rashford, Sancho, dan Antony.

Antony pula menunjukkan prestasi cemerlang ketika dipinjamkan ke Real Betis dengan lima gol dan empat bantuan jaringan setakat ini. Betis berminat untuk menyambung tempoh pinjaman, namun United lebih berminat untuk menjual secara tetap. 

Jika harga terus meningkat, Real Betis mungkin tidak mampu membelinya dan Atletico Madrid dilaporkan bersedia mencabar dalam pasaran untuk mendapatkan pemain yang di posisi penyerang sayap. 

United kini dilihat agresif menyusun semula skuad mereka bagi musim hadapan, dan perpindahan Cunha mungkin menjadi pembelian marquee pertama jika penstrukturan semula ini berjaya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram