
PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menegaskan bahawa kelab itu tidak menghadapi masalah menarik minat pemain sasaran, meskipun kedudukan mereka ketika ini jauh dari prestasi terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Man United kini menghuni tangga ke-14 dan dijangka mencatatkan musim terburuk dalam era Liga Perdana, namun jurulatih dari Portugal itu percaya kejatuhan tersebut tidak menjejaskan reputasi kelab.
Malah, penyerang Wolverhampton Wanderers iaitu Matheus Cunha pula difahamkan sudah memberikan isyarat positif untuk berhijrah ke Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas ini.
BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana
BACA LAGI: Bruno Fernandes disuruh keluar Manchester United
Selain peluang menandatangani Cunha, Amorim turut berusaha mengekalkan daya saing United dengan kemungkinan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan melalui kejuaraan Liga Europa.
Untuk rekod, United bakal berdepan kelab Sepanyol, Athletic Club dalam perlawanan separuh akhir Liga Europa pada minggu hadapan.
"Saya rasa masih ramai pemain mahu bermain untuk kelab ini. Walaupun dengan semua cabaran dalaman seperti perubahan staf, pertukaran jurulatih, dan keputusan perlawanan yang kurang memuaskan, kami mempunyai rancangan yang jelas.
"Itu mudah untuk kami jelaskan kepada pemain. Akhirnya, ini adalah Manchester United. Semua orang mahu bermain untuk kelab ini," katanya yang optimis kedudukan semasa liga tidak mempengaruhi pemain beraksi bersama Man United.
Cunha dikaitkan dengan Man United. — Agensi
Dalam usaha memperkukuh serangan, United mensasarkan untuk melengkapkan perpindahan Cunha seawal pembukaan jendela perpindahan Jun ini. Selain itu, penyerang Ipswich iaitu Liam Delap, dan bintang Napoli, Victor Osimhen turut berada dalam radar kelab.
Bagaimanapun, Amorim enggan mengulas panjang mengenai kaitan Cunha dengan United, walaupun sebelum ini pengenali berkenaan secara terbuka memuji pemain skuad kebangsaan Brazil tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram