
SUASANA meriah di perkarangan sebuah hotel di ibu negara bertukar tegang apabila bintang muda Manchester United, Amad Diallo didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong susulan kekalahan mengejut pasukannya kepada Asean All-Stars pada Rabu.
Insiden memalukan itu berlaku sejurus tamat aksi persahabatan pascamusim Maybank Challenge Cup yang menyaksikan skuad The Red Devils tewas tipis 0-1 kepada pasukan pilihan Asia Tenggara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kekalahan tidak dijangka itu jelas mengecewakan sebahagian besar penyokong yang hadir, hingga mencetuskan provokasi terhadap pemain muda tersebut.
BACA LAGI: Hampir lengkap, 3 tonggak Perak FC termasuk Wan Zack selangkah sarung jersi Harimau Kumbang
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Asnawi Mangkualam, kini giliran bek kanan Sang Penyu pamer skil tackle Garnacho
Dalam suasana tegang itu, Diallo dilaporkan bertindak balas dengan mengangkat jari tengahnya, sebagaimana yang dirakam dan tular di media sosial.
Tindakan tersebut dipercayai sebagai reaksi terhadap ejekan dan cemuhan penyokong yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi hambar United di Bukit Jalil.
Insiden itu menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak, apabila seorang pemain profesional daripada kelab berstatus dunia gagal mengawal emosi dan bertindak di luar batasan.
Diallo, yang pernah dianggap sebagai salah satu bakat muda paling menjanjikan di Old Trafford, kini berdepan kritikan hebat selepas tindakannya mencetuskan kontroversi dan mencemarkan imej kelab.
Selain kontroversi tersebut, Diallo juga gagal memberikan impak yang diharapkan oleh penyokong The Red Devils dalam aksi persahabatan tersebut.
Hantaran yang dilakukannya tidak banyak menghasilkan peluang, manakala larian pantas pemain Ivory Coast itu sering berakhir dengan situasi ofsaid, sekali gus menyukarkan pasukan dan memberi kerugian kepada Man United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram