Memukau berdepan Man United, Hai Long Nguyen wajar direbut Penang, Selangor, Terengganu


  • Podium
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Hai Long mempunyai kepantasan dan kelincahan yang sudah tentu menarik untuk disaksikan dalam Liga Super musim depan. — Agensi

KEKALAHAN memalukan dialami Manchester United kepada Asean All Stars dalam Maybank Challenge Cup 2025 pada Rabu menjadi buah mulut peminat antarabangsa yang pasti kecewa melihat persembahan skuad The Red Devils.

Gaya permainan yang lesu, tidak tersusun dan tidak bermaya membuatkan finalis Liga Europa UEFA (UEL) 2024/25 itu tewas 0-1 selepas pemain sayap Myanmar, Mg Mg Lwin menewaskan Tom Heaton pada babak kedua permainan.

Keputusan buruk menimpa skuad The Red Devils itu sudah tentu menghadirkan kekecewaan buat penyokong dari seluruh Asia Tenggara yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk menonton pasukan kegemaran mereka tersebut.

BACA LAGI: Bukan calang-calang, 3 penyerang Asean jadi ayam tambatan pendatang baharu Liga Super, KL City, Selangor

BACA LAGI: Kuota Asean Selangor boleh diisi bekas import Perak, Terengganu, Pahang

Asean All-Stars’ Hai Long Nguyen (third right) taking a free-kick while against Manchester United during the Maybank Challenge Cup match at the National Stadium in Bukit Jalil last night. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Hai Long (9) ketika mengambil sepakan percuma dalam usaha mencetak jaringan buat Asean All Stars. Izzrafiq Alias

Bagaimanapun, di sebalik perasaan kesal itu, mereka masih berpuas hati, lebih-lebih lagi bagi peminat yang hadir dari Vietnam kerana masing-masing dihiburkan aksi lincah seorang lagi bintang Asean All Stars, Hai Long Nguyen.

Selain berani melakukan percubaan berbahaya, bintang Hanoi FC itu berkali-kali mengganggu benteng pertahanan Manchester United menggunakan kepantasan dan kelincahan sepanjang separuh masa permainan.

Persembahan memukau itu sudah cukup untuk memberi isyarat kepada kelab-kelab Liga Super untuk segera mendapatkan khidmatnya dengan tiga pasukan dilihat cukup sesuai dengan profil permainannya.

1. Penang FC

Menjelang musim baharu, Penang FC pantas melakukan rombakan terhadap pasukan dengan menamatkan khidmat 22 pemain untuk memberi ruang kepada nama-nama baharu yang akan dibawa masuk pada jendela perpindahan akan datang.

Perubahan besar-besaran dijangka dilakukan dari segi serangan selepas pemain seperti Rodrigo Dias, Rahmat Makasuf dan Nabil Ahmad Latpi dilepaskan dengan Wan Rohaimi Wan Ismail tentu mempunyai perancangan tersendiri.

Gandingan Hai Long dan Wenzel-Halls pasti menarik untuk disaksikan. Facebook/Penang FC

Bagaimanapun, setakat ini, skuad Harimau Kumbang masih belum mempunyai pengganti dalam senarai pendek yang akan dibawa masuk dengan pihak pengurusan pasti membawa masuk pemain paling sesuai.

Tetapi, selepas menyaksikan impak diberikan Hai Long dalam perlawanan itu, mereka sudah tentu terbuka untuk mendapatkan penyerang sayap berkenaan untuk digandingkan dengan Dylan Wenzel-Halls.

Kebolehan pemain berusia 24 tahun terbabit untuk membawa masuk bola ke zon serangan akan menjadikannya aset berharga buat kelab Utara tanah air tersebut yang sering mengalami kebuntuan musim lalu.

2. Selangor FC

Musim lalu, skuad Gergasi Merah tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencetak jaringan kerana barisan kejurulatihan pasukan memiliki lambakan pemain sayap yang berkualiti untuk memberi umpanan buat Ronnie Fernandez.

Namun, posisi sayap serangan masih perlu diperbaiki kerana Selangor FC akan berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two dan Piala Shopee yang turut disertai kelab berkualiti sekitar Asia.

Alvin Fortes memerlukan gandingan konsisten untuk membantu skuad Gergasi Merah.

Kemasukan Hai Long akan memberi nilai tambah tersebut memandangkan dia mempunyai kelincahan seakan-akan Faisal Halim atau Alvin Fortes yang cukup sesuai dengan gaya permainan cuba diterapkan Katsuhito Kinoshi.

Meskipun hanya mencetak lima gol dan dua bantuan jaringan dalam Liga Vietnam, pemain itu mampu mengucar-ngacirkan benteng pertahanan dengan setiap peluang terhidang dapat disudahkan rakan sepasukan.

Selain itu, pemain sayap berkenaan mampu mengisi slot Asean buat skuad Gergasi Merah berikutan keputusan bek Singapura, Safuwan Baharudin untuk meninggalkan pasukan Lembah Klang berkenaan untuk mencari cabaran baharu.

3. Terengganu FC

Terengganu FC boleh dikatakan cukup bertuah musim ini kerana memiliki pelbagai pilihan di posisi sayap menyerang, termasuk duo dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Bagaimanapun, bagi saingan akan datang, Safawi difahamkan tidak akan lagi bersama skuad Sang Penyu dengan laporan mengatakan terdapat kemungkinan dia akan kekal di JDT atau mencuba perkara baharu di Negeri Sembilan FC.

Safawi diramal tidak akan beraksi buat skuad Sang Penyu musim depan. Facebook/Terengganu FC

Kehilangan pemain terbaik merangkap kapten pasukan itu akan mendesak Terengganu FC mencari mana-mana pemain sesuai untuk beraksi di posisi sayap untuk membuka ruang kepada penyerang utama.

Melihat kepada persembahan ditampilkan Hai Long pada Rabu membuatkannya sebagai salah seorang calon terbaik dengan kebolehan menggelecek dimilikinya mampu memberi kerunsingan kepada benteng pertahanan lawan.

Bagaimanapun, tidak seperti Selangor FC dan Penang FC, skuad Sang Penyu sudah tentu berdepan kesukaran untuk memancing pemain berkenaan dari Hanoi FC kerana mereka perlu menebus kontraknya dengan yuran yang pasti cukup tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram