
PROGRAM pembangunan bola sepak dalam negara masih jauh ketinggalan kerana setakat ini, hanya dua kelab iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC memiliki akademi tersendiri yang tersusun.
Bagaimanapun, sekiranya ditanya peminat, mereka pasti beranggapan pasukan Selatan tanah air tersebut berada di depan kerana kesinambungan 'ubi muda' terjamin melihat kepada perlawanan disediakan.
Ini termasuk penyertaan dalam kejohanan peringkat akademi di Singapura dan beberapa kali mereka menjadi kelab jemputan sekiranya terdapat kejohanan antarabangsa diadakan sekitar rantau Asia Tenggara.
BACA LAGI: 'Bintang muda berdisiplin tinggi,' permata bola sepak Penang pilih Akademi JDT
BACA LAGI: Kelab Johor pinjam 2 'ubi muda' akademi Pahang harung kejohanan antarabangsa di Indonesia
R Yohgiin (tengah) menjadi bakat muda terbaru yang menyertai Akademi JDT. — Facebook/Akademi Bolasepak Wira Muda
Jadi, tidak hairanlah bertahun-tahun kebelakangan ini, lambakan pemain cilik berbakat memilih untuk menyertai akademi Harimau Selatan dengan harapan langkah itu dapat mewujudkan masa depan cerah.
Prospek muda kelahiran Pulau Pinang, R Yohgiin menjadi antara yang terkini berbuat demikian selepas memilih kelab tersebut untuk mengembangkan bakatnya seawal usia 12 tahun.
Menyedari perkembangan pantas ditonjolkan pasukan berkenaan, Selangor FC menyedari mereka juga perlu bekerja keras dalam mendapatkan prospek muda untuk diserap ke dalam akademi kelab.
Dalam hantaran di laman Facebook Akademi Bolasepak Wira Muda (AWM), mereka berkongsi pemain berbakat besar, Benzema Zulkarnain sudah memilih Akademi Selangor FC sebagai destinasi baharunya.
"Benzema mula mendaftar sebagai pelatih AWM sejak berumur 11 tahun dan mula menjadi pemain utama sejak dari itu. Benzema merupakan seorang pemain berkaki kidal yang cukup berbakat dan merupakan tonggak pemain penyerang bagi pasukan yang disertainya.
Benzema sudah tentu berbangga dengan peluang diberikan Selangor FC untuk mengembangkan lagi bakatnya. — Facebook/Akademi Bolasepak Wira Muda
"Tidak dilupakan juga kepada para jurulatih yang pernah membimbing dan melatih pemain ini hingga mendapat peluang untuk menyertai salah sebuah akademi bolasepak terkemuka di Malaysia," tulisnya.
Menariknya, Benzema bukanlah pemain pertama dari akademi tersebut yang melangkah ke tahap lebih tinggi kerana R Yohgiin yang menyertai Akademi JDT turut dikembangkan di pusat pembangunan bola sepak itu.
AWM merupakan antara akademi yang dikenali dalam kalangan peminat bola sepak, terutamanya bagi mereka yang berda di sekitar Batu Kawan, Pulau Pinang dengan ia merupakan lokasi asal kelab itu.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, akademi itu juga kerap menyertai kejohanan peringkat tempatan seperti Kejohanan Bibisel Cup Bawah 9 Tahun dan Kejohanan Bola Sepak Komuniti Taiping Bawah 10 Tahun.
Ini merupakan satu usaha baik dalam membangunkan bakat-bakat muda dalam negara dengan mereka yang berpotensi besar akan diserap ke mana-mana kelab bersesuaian dengan harapan dapat menembusi pasukan utama pada tahun mendatang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram