Kelab Brunei sah sertai Liga Super, JDT dan Selangor wakil ke AFF


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Dua slot AFF juga menjadi milik JDT dan Selangor FC.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa kelab yang berpangkalan di Brunei, iaitu DPMM FC akan bertanding dalam musim baharu Liga Super 2025-2026. 

DPMM FC bakal beraksi sebagai kelab jemputan selepas mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk beraksi dalam saingan liga profesional Malaysia, Liga Super yang dijangka bermula pada Ogos 2025.

Kelab berkenaan bukan pasukan asing dalam kancah bola sepak tempatan apabila ketika itu pasukan Brunei menyertai pertandingan Piala Malaysia pada 1979 buat kali pertama dan kemudian Liga Semi-Pro pada 1989.

BACA LAGI: Kebajikan pemain lebih penting berbanding sejarah, harapnya Kedah-Perak bangkitlah perlahan-lahan — Zulakbal

BACA LAGI: Tiada peluang kedua walau Kedah, Perak terima tajaan saat akhir

Sebelum ini Brunei pernah menjulang trofi Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan rekod terbaik DPMM FC pula menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Super 2005-2006.

Memetik kenyataan MFL pada Jumaat, mereka amat mengalu-alukan kehadiran DPMM FC bagi menambah saingan dan kemeriahan Liga Malaysia 2024-2025 selepas kali terakhir mereka tampil dalam Liga Super pada 2008.

"Sudah pasti penyertaan DPMM FC akan memberikan satu tarikan dan cabaran baharu buat Liga Malaysia apatah lagi kelab ini memiliki sejarah tersendiri yang cukup dekat dengan penyokong tempatan," kata MFL. 

Selain DPMM FC, 13 lagi kelab telah mendapat Lesen Kebangsaan musim 2025-2026 seperti yang diputuskan oleh First Instance Body (FIB) pada Khamis untuk melayakkan diri bersaing dalam Liga Super.

Kelab berkenaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC.

Manakala, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC, dan Kelantan Darul Naim FC (Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’) serta dua kelab dari Liga Bola Sepak Amatur (AFL A1) iaitu Melaka FC dan Imigresen FC.

Untuk rekod, musim lalu Liga Super hanya disertai 13 kelab berbanding musim ini 14 kelab termasuk penyertaan dua kelab dari Melaka FC dan Imigresen FC. 

"Walaupun pertandingan Liga Super kehilangan dua kelab Perak FC dan Kedah Darul Aman FC yang gagal dalam permohonan Lesen Kebangsaan, namun ini adalah bukti ketegasan FIB dan juga MFL terhadap kelab yang berdepan kes tunggakan gaji.

"Dalam masa yang sama bagi memastikan tahap integriti dan kompetitif liga profesional ini di tahap tinggi," tambah pengelola bola sepak domestik itu. 

Sementara itu, MFL juga mengumumkan slot ke pertandingan kelolaan AFC iaitu Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menjadi milik JDT selaku juara Liga Super 2024/2025 dan Selangor FC pula sebagai naib juara bakal berentap dalam ACL 2.  

Bagaimanapun, sedikit perubahan bagi Kejohanan Kelab Asean (AFF) susulan  badan pengelola itu sudah menetapkan dua slot ke kejohanan itu adalah juara liga dan juara pertandingan berformat kalah mati (Piala FA).

Maka Ahli Lembaga Pengarah MFL mengesahkan slot berkenaan akan diberikan kepada JDT selaku juara Liga Super dan Piala FA manakala satu lagi slot kepada Selangor FC selaku naib juara Liga Super.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram