Tiada lagi skuad TBG, 3 cara terus hidupkan aura bola sepak di Perak termasuk contohi FA Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Skuad TBG yang berdepan masalah kewangan dan pengurusan dihalang dari beraksi dalam Liga Super 2025/26. — Facebook/Perak FC

KEGAGALAN pihak pentadbiran untuk menguruskan Perak FC dengan baik menyaksikan kelab itu gagal memperolehi lesen kebangsaan bagi saingan Liga Super musim depan.

Perkara itu diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menegaskan skuad The Bos Gaurus (TBG) tidak menepati kriteria kewangan ditetapkan meskipun berjaya memperolehi sumber penajaan pada minit-minit akhir.

Ketiadaan kelab Utara tanah air tersebut sudah tentu merencatkan kemeriahan arena bola sepak tanah air memandangkan pasukan berkenaan tidak pernah gagal dalam menarik penonton untuk hadir ke stadium.

BACA LAGI: PAFA pastikan bola sepak terus 'hidup' di Perak

BACA LAGI: KBS wujud jawatankuasa pemantau lepas sambung talian hayat PAFA

MFL mengambil keputusan untuk tidak memberi lesen kebangsaan kepada Perak FC.

Selain itu, skuad TBG boleh dikatakan sebagai antara kelab tempatan dengan sejarah cukup mendalam kerana sudah berusia lebih 100 tahun serta memiliki rekod kejuaraan cukup baik.

Jadi, persoalannya, dengan Perak FC tidak lagi bertanding dalam Liga Super, adakah arena bola sepak di negeri tersebut akan lenyap dengan peminat bola sepak di sana tidak mempunyai alasan untuk mengikuti perkembangan tanah air.

Berdasarkan pemerhatian, situasi tersebut boleh dielakkan sekiranya badan induk negeri, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengambil tiga langkah seperti mana diimpikan peminat.

1. Bangunkan bakat bola sepak secara serius

Sebelum ini, Pafa menyatakan kesediaan mereka untuk membantu pembangunan bola sepak di negeri itu selepas Perak FC mengumumkan tidak akan lagi bersaing bagi musim 2025/26.

Usaha tersebut selari dengan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor tahun depan yang memerlukan persiapan rapi bagi kesemua sukan, termasuk bola sepak.

Setiap proses diambil perlu dilakukan sebaiknya kerana umum mengetahui bumi Darul Ridzuan kerap melahirkan bakat tempatan yang berkualiti seperti mana pernah disaksikan bertahun-tahun dahulu.

Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi wajar menjadi keutamaan. Facebook/Perak FA

Jika pembangunan itu direncankan dengan cemerlang, tidak mustahil sekiranya mereka mampu membarisi kelab gergasi Liga Super seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.

Ini secara tidak langsung akan membuka mata mana-mana syarikat untuk membuat pelaburan demi menghidupkan semula pasukan dari negeri tersebut dan beraksi dalam divisyen teratas bola sepak negara pada tahun-tahun akan datang.

Malah, sekiranya proses jangka masa panjang itu berhasil, skuad TBG akan memiliki barisan pemain tempatan bermutu tinggi dengan ia pastinya menarik minat penyokong untuk hadir ke stadium.

2. Sokong kelab amatur

Berdasarkan kebiasaan, persatuan bola sepak di setiap negeri akan menerima suntikan dana setiap tahun dari kerajaan masing-masing dengan peruntukan itu perlu digunakan sebaiknya bagi mengelakkan pembaziran.

Jadi, sekiranya Pafa mengikut standard demikian, mereka sudah tentu memperolehi sumber kewangan mencukupi dengan saluran kewangan itu hanya boleh ditetapkan pihak atasan.

Tetapi, dengan Perak FC sebagai wakil pasukan dalam Liga Super tidak lagi bersaing, badan pengurusan bola sepak negeri tersebut pasti perlu mencari entiti baharu yang boleh memanfaatkan peruntukan berkenaan.

Manjung City FC boleh dibangunkan dengan bantuan dana Pafa. Facebook/Manjung City FC

Oleh itu, sekiranya tidak mahu melihat dana itu dibazirkan begitu sahaja, ia perlu disalurkan ke mana-mana pasukan yang layak, termasuk kelab yang kini beraksi dalam liga amatur.

Ini termasuk Manjung City FC yang sudah lama beraksi dalam Liga A1 Semi Pro dengan peruntukan mencukupi akan membantu kelab berkenaan memberi saingan lebih baik.

Sekiranya penyaluran dana tersebut digunakan dengan cekap, penyokong bola sepak di Perak sudah tentu akan tertarik untuk mengikuti pasukan berkenaan sementara menantikan kelahiran semula Perak FC dalam Liga Super.

3. Contohi kemeriahan Liga FAS

Dalam kalangan persatuan bola sepak negeri setakat ini, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) merupakan antara yang paling ke hadapan melihat kepada setiap program dianjurkan.

Contoh terbaik adalah apabila Liga FAS yang dibangunkan sejak bertahun-tahun lalu tidak pernah gagal menarik penyokong yang enggan terlepas mengikuti perkembangan bola sepak negeri.

Liga FAS yang dianjurkan setiap tahun di Selangor menjanjikan kemeriahan cukup baik. FAS

Bukan itu sahaja, pasukan yang bertanding dalam kejohanan peringkat amatur itu turut menerima tajaan syarikat tempatan dengan ia menceritakan kemeriahan pertandingan terbabit.

Program tersebut boleh dicontohi mana-mana persatuan, termasuk Pafa sekiranya mereka mahu menghidupkan suasana sukan tersebut berikutan ketiadaan Perak FC dalam Liga Super.

Meskipun ia akan memakan masa sebelum dapat membuahkan hasil, permulaan secara perlahan wajar dilakukan dalam memastikan Perak dapat terus menghasilkan bakat tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram