'Bintang muda berdisiplin tinggi,' permata bola sepak Penang pilih Akademi JDT


  • Podium
  • Isnin, 12 Mei 2025

Yohgiin A/L Ranganaathan membuat pilihan tepat dengan menyertai Akademi JDT untuk mengembangkan kariernya dalam bola sepak. — Facebook/ABSWM

BINTANG cilik berbakat dari Pulau Pinang, Yohgiin Ranganaathan kini semakin hampir dengan pentas bola sepak elit negara apabila disahkan menyertai Akademi JDT, antara akademi bola sepak paling berprestij di tanah air.

Perkembangan itu diumumkan menerusi hantaran di laman rasmi Facebook Akademi Bola Sepak Wira Muda (AWM) pada Isnin, yang mengalu-alukan penyertaan Yohgiin ke akademi milik kelab Johor Darul Ta'zim.

"Selamat datang ke Akademi JDT – Yohgiin," katanya.

BACA LAGI: Liga Indonesia lebih mencabar, tiada kelab dominan seperti di Malaysia — Bojan Hodak

BACA LAGI: Jodoh berakhir di JDT, Ruo Han berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC

Menurut kenyataan itu, Yohgiin mula menyertai AWM seawal usia lapan tahun dan segera menarik perhatian barisan jurulatih dengan bakat dan prestasi luar biasa. 

Meskipun memiliki fizikal yang kecil, kelincahan, kecerdasan serta keupayaannya membaca permainan menjadikan Yohgiin antara tonggak utama pasukan sejak awal penyertaannya.

Lebih membanggakan, Yohgiin sering diberi kepercayaan untuk bermain dalam kategori umur yang lebih tinggi daripada usianya.

Dia juga telah beberapa kali dipilih mewakili Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan pasukan kebangsaan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa di Singapura, Thailand, Jepun dan Chinese Taipei.

Pengalaman beraksi di luar negara bukan sahaja mengukuhkan kemampuannya, malah menjadikan Yohgiin seorang pemain muda yang matang dan mempunyai pengaruh besar dalam setiap perlawanan.

Selain daripada bakat teknikalnya, Yohgiin juga dikenali sebagai pelatih yang sangat berdedikasi.

Pemain muda itu sentiasa hadir ke sesi latihan dengan komitmen tinggi dan semangat untuk terus memperbaiki diri.

Menerusi hantaran sama, warga Akademi Wira Muda turut menzahirkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada Yohgiin atas pencapaian yang membanggakan itu.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada para jurulatih yang membimbing Yohgiin serta ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan penuh sepanjang perjalanan kariernya.

Penyertaan ke Akademi JDT pastinya membuka lembaran baharu dalam perjalanan bola sepak Yohgiin, sekali gus menjadi batu loncatan untuk mengejar impian sebagai pemain profesional negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram