KDA FC dalam proses tamatkan kontrak CEO Batu


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

CEO Batu (kiri) dilantik sebagai duta pasukan bersama dua lagi Black Hanifah dan CEO Biezy . — Facebook/KDA FC

PIHAK pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak teragak-agak menamatkan kontrak dengan Muhd Iqbal Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai CEO Batu sebagai duta rasmi kelab selepas pempengaruh media sosial itu terpalit dengan isu kontroversi.

Sebelum ini, media melaporkan CEO Batu tampil menyerah diri kepada pihak berkuasa susulan siasatan berkaitan dakwaan menghantar mesej berbaur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada Khamis.

Memetik laporan, Mohd Iqbal yang berusia 22 tahun itu hadir secara sukarela ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor sebelum ditahan dan direman bagi membantu siasatan lanjut pada Jumaat.

BACA LAGI: Terpalit kontroversi hantar mesej tak senonoh kepada budak bawah umur, CEO Batu ditahan polis Gombak

BACA LAGI: CEO Batu patah gigi, terima 20 jahitan terlibat kemalangan di Sungai Petani

Sehubungan dengan itu, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan KDA FC, Mohamad Faidhi Mohd Rohdzi selaku wakil pengurusan Sang Kenari berkongsi bahawa mereka dalam proses menamatkan perkhidmatannya.

"Saya sedang proses menamatkan kontrak dengan CEO Batu. Kontraknya sampai habis musim 2025/2026 sepatutnya. Memang terkejut dengan berita ini pagi tadi (Jumaat).

"Jadi sekarang kami hanya mempunyai dua duta iaitu Black Hanifah (Hanifah Muhammad Hanafiah) dan CEO Biezy (Mohd Irshad Shafiq Mohd Tahir," katanya ringkas kepada Majoriti berhubung isu pempengaruh media sosial itu.

Terdahulu, KDA FC mengumumkan tiga duta rasmi mereka termasuk CEO Batu bagi membantu mempromosikan produk pasukan dengan lebih meluas terutama dalam usaha meningkatkan keahlian kelab penyokong pasukan itu, 'The Wing'.

 

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan bahawa CEO Batu direman empat hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja bawah umur berusia 14 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menghantar beberapa imej tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu.

"Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

"Polis memandang serius kesalahan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram