
DUA pemain muda dari Akademi Rhino FA bakal mewakili sebuah kelab dari Johor dalam kejohanan bola sepak antarabangsa Bawah 13 tahun (B-13) yang akan berlangsung di Indonesia dari 31 Mei hingga 2 Jun ini.
Mereka yang dikenali sebagai Amal, 13, dan Iskandar, 12, akan menyertai kelab itu secara pinjaman bagi memperkuatkan barisan pemain dalam kejohanan yang dijangka menghimpunkan pasukan elit dari pelbagai negara termasuk Jepun, China, Singapura dan Australia.
Amal yang memiliki pengalaman luas menyertai kejohanan peringkat antarabangsa seperti Singa Cup 2023 dan JSSL Singapore International edisi 2025 baru-baru ini, dijangka memainkan peranan penting berdasarkan kematangan serta kecergasan taktikal yang ditonjolkannya sebelum ini.
BACA LAGI: Kejayaan 'ubi muda' Pahang di Singapura, suntik semangat Tok Gajah benam JDT final Piala Malaysia
BACA LAGI: Tak dipanggil Kim Pan-gon, Sergio Aguero bakal kendali skuad akademi
Sementara itu, Iskandar pula turut memiliki pengalaman berharga apabila membantu pasukan Rhino Bawah 10 tahun (B-10) di Singa Cup 2023 dan menunjukkan peningkatan memberangsangkan sebagai pemain serba boleh.
Pengurusan Rhino FA dalam satu kenyataan di Facebook menegaskan komitmen mereka untuk terus membuka peluang kepada pemain-pemain berpotensi tinggi agar diberi pendedahan lebih luas, khususnya di pentas antarabangsa.
"Rhino FA sentiasa terbuka untuk mana-mana kelab yang ingin mendapatkan khidmat pemain kami secara profesional. Kami percaya bahawa pengalaman luar negara akan membentuk keyakinan dan kematangan pemain sejak usia muda," katanya.
Rhino FA juga memaklumkan bahawa sebarang urusan pinjaman pemain harus dilakukan secara rasmi melalui pihak pengurusan akademi dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba berurusan terus dengan ibu bapa pemain.
"Kaedah pinjaman pemain harus dibuat secara profesional antara pengurusan kelab," tegas kelab yang berpangkalan di Kuantan, Pahang berkenaan.
Dalam pada itu, mereka turut mengingatkan bagi mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain Rhino FA bagi kejohanan luar negara, mereka boleh menghubungi pengurusan akademi di saluran yang sesuai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram