
SPEKULASI mengenai perancangan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membawa masuk pemain baharu bagi menghadapi musim Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 dan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) semakin hangat diperkatakan.
Khabar angin itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong, yang mengharapkan penambahbaikan skuad bagi mengukuhkan lagi dominasi Harimau Selatan di peringkat domestik dan serantau.
Meskipun belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada kelab, langkah ini dilihat sejajar dengan misi JDT untuk melangkah lebih jauh dalam saingan ACLE yang bakal menghimpunkan kelab elit dari seluruh Asia.
BACA LAGI: Cemerlang sepanjang musim buatkan 'saham' bintang JDT-Selangor-Kuching naik mencanak
BACA LAGI: Bintang golf beri bayangan Jordi Amat tinggalkan JDT, pilih Sepanyol sebagai destinasi baharu
Penyokong setia JDT di media sosial rata-rata menyebut beberapa pemain yang dianggap sesuai untuk menyarung jersi JDT pada musim dengan mereka diyakini mampu memastikan kelangsungan prestasi tinggi pasukan yang kini menjadi penanda aras bola sepak Malaysia.
Dengan cabaran lebih besar di pentas ACLE, penyokong percaya bahawa kelab perlu memiliki skuad yang lebih seimbang dan berlapis untuk bersaing dengan kelab gergasi Asia seperti Al-Hilal, Urawa Reds dan Jeonbuk Motors.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang penyokong anggap sesuai menjadi sebahagian keluarga Harimau Selatan pada musim baharu nanti;
1) Fabio Gonzalez
Sejak kebelakangan ini, skuad Harimau Selatan dilaporkan sudah menemui pemain tengah baharu dari kelab liga bawahan di Sepanyol selepas beberapa ciapan di laman X mendakwa JDT berjaya mendapatkan khidmat Fabio Gonzalez dari CD Tenerife.
Sepanjang kariernya, pemain berusia 28 tahun itu hanya pernah beraksi bersama dua kelab Sepanyol, iaitu Tenerife dan Las Palmas. Sepanjang tempoh tersebut, Gonzalez sempat mencatatkan sembilan penampilan dalam saingan tertinggi negara itu, La Liga.
Ini termasuk peluang berdepan kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona sebanyak tiga kali dengan salah satu daripadanya berakhir dengan kemenangan buat Gonzalez dan skuad Las Palmas.
Dalam perlawanan pada 30 November 2024 itu, Gonzalez hanya beraksi sebagai pemain gantian untuk kira-kira tujuh minit, namun pemain di posisi central midfield (cm) itu sempat bertarung dengan tonggak FC Barcelona di posisi tengah seperti Pedri dan Gavi.
Meskipun sebahagian besar masanya dihabiskan dalam kancah La Liga 2, Gonzalez bagaimanapun berhasil mengumpul pengalaman berharga, berdepan saingan sengit serta corak permainan taktikal yang tinggi di peringkat kompetitif.
Walaupun tidak begitu menonjol di pentas utama, pengalaman luasnya di La Liga 2 dianggap cukup bernilai untuk pasukan seperti Harimau Selatan yang sedang memperkukuh skuad bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia dan kempen ACLE.
2) Gabriel Palmero
Palmero kini bermain untuk CD Tenerife B. — Instagram/Gabriel Palmero
Nama Gabriel Palmero mula dikenali penyokong bola sepak tempatan selepas pemain berkenaan disebut sebagai tonggak warisan baharu dengan dia juga sempat mengikut latihan kem pusat Harimau Malaya menentang Nepal pada Mac lepas. Bagaimanapun pemain bek kiri itu tidak diberikan peluang bermain.
Disebabkan itu, segelintir penyokong berpendapat aksi persahabatan menentang Cape Varde pada 29 Mei ini atau perlawanan berdepan Vietnam untuk aksi kedua Kumpulan F aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun bakal menyaksikan kebolehannya.
Tolak tepi mengenai peluangnya bersama Harimau Malaya, terdapat sesetengah pengikut JDT berharap Palmero direkrut untuk mengisi posisi pertahanan kiri selepas dia juga jarang mendapat peluang di saingan divisyen keempat Sepanyol itu.
Baru-baru ini sahaja menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu akhirnya meraih penampilan senior pertama bersama kelab La Liga 2, CD Tenerife selepas jurulatih, Alvaro Cervera menamakannya dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang FC Cartagena pada 17 Mei lalu.
Jika melihat statistiknya bersama CD Tenerife B sejak menyertainya pada Januari lepas, pemain campuran Malaysia-Sepanyol itu diberikan peluang beraksi dalam 16 perlawanan dengan Palmero juga ada menjaringkan satu gol buat pasukan tersebut.
Dengan peluang yang sedikit untuk menyinar dalam Liga Sepanyol itu, segelintir penyokong lebih gemar jika Palmero boleh meraih pengalaman bersama Harimau Selatan, sekali gus membantu dia menyesuaikan dengan suasana tanah air.
3) Jasir Asani
Asani (kanan) merupakan penyerang prolifik di Asia seperti mana sedang dibuktikan buat Gwangju FC ketika ini. — Facebook/JDT
Penyerang Albania, Jasir Asani juga menjadi pemain yang diharapkan untuk berhijrah ke JDT menjelang musim Liga Malaysia 2024/2025 dan saingan ACLE dengan dia dianggap antara prospek import yang mampu menambah bisa di barisan serangan Harimau Selatan.
Pemain berusia 30 tahun itu yang terkenal dengan kelincahan di bahagian sayap dan rembatan dari jarak jauh tersebut beraksi bersama kelab Korea Selatan, Gwangju FC sejak awal musim 2023. Selain pernah berkelana di Hungary, Albania, Sweden dan Macedonia.
Sekiranya menyertai juara 11 kali berturut-turut Liga Super berkenaan, Asani dijangka mengisi kekosongan di bahagian sayap atau menjadi alternatif kepada barisan sedia ada, seperti Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva.
Kombinasi pemain tempatan dan import berkualiti tinggi seperti ini mampu memperkukuh kreativiti dan kepelbagaian dalam fasa serangan pasukan, khususnya ketika berdepan lawan-lawan elit Asia di pentas ACLE.
Jasir yang merupakan pemain kebangsaan Albania cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana pada Oktober 2023, dia pernah menjaringkan dua gol ketika JDT berputih mata dalam aksi ACL Elite berdepan kelab Korea Selatan, Gwangju FC.
Namun, sekiranya JDT bercita-cita besar untuk mendapatkan khidmatnya, mereka perlu membayar pampasan kepada Gwangju FC memandangkan kontraknya hanya akan tamat pada penghujung Disember 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram