
PRESTASI mengecewakan pada penghujung musim menyaksikan gergasi bola sepak Belanda, AFC Ajax gagal muncul juara dalam divisyen teratas di negara tersebut apabila takhta gelaran jatuh ke tangan PSV Eindhoven.
Kegagalan itu sememangnya pahit untuk ditelan kerana memasuki tujuh perlawanan terakhir Eredivise, pasukan kendalian Francesco Farioli itu memiliki kelebihan sembilan mata di persada liga.
Bagaimanapun, selepas mencicirkan 10 mata daripada empat aksi, jurang dimiliki AFC Ajax berjaya dikecilkan PSV Eindhoven yang akhirnya berjaya memintas untuk berada di tangga teratas.
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas striker Man United naik angin, bek Arsenal sengaja cari pasal di kem Belanda
BACA LAGI: Legenda MU, Liverpool ‘sekepala’ kritik penyerang Red Devils
Weghorst pernah beraksi buat Manchester United serta pelbagai kelab lain sepanjang kariernya. — Agensi
Kejuaraan akhirnya disahkan PSV Eindhoven bagi kempen kali ini apabila mereka mencatatkan kemenangan dalam aksi penutup ke atas Sparta Rotterdam meskipun AFC Ajax juga meraih tiga mata penuh.
Perasaan kecewa kemudian dirasakan dalam kem AFC Ajax yang menutup kempen di laman sendiri, namun situasi berbeza pula ditonjolkan penyerang kelab itu, Wout Weghorst yang hanya berasa amarah atas kesilapan mereka sendiri.
Dalam satu video tular baru-baru ini, bekas pemain Manchester United itu bertindak menolak kamera yang menghampirinya selepas perlawanan ketika semua pemain berdiri bersama-sama di hadapan penyokong.
Tindakan jurukamera tersebut mengundang kemerahan terhadap Weghorst yang tidak mahu kekecewaannya dirakam pihak media sehingga membuatkannya gagal mengawal emosi sebelum berkelakuan sedemikian.
"Ia merupakan detik yang cukup bermakna kerana kami sedang sibuk menikmatinya, tetapi detik tersebut tidak diabadikan jurukamera di atas padang. Emosi tersebut perlu dirakam, namun kamera terus berada berhampiran dengan saya.
"Saya perasan sejak awal lagi, kamera sudah fokus ke arah saya dan sekali lagi ia berlaku. Pada Rabu minggu lalu, saya amat kecewa selepas tercicir mata menentang Groningen, jadi saya terus masuk ke dalam bilik persalinan. Saya tidak mahu dirakam sekali lagi," katanya.
Penyerang berusia 32 tahun itu menyertai AFC Ajax pada awal musim lalu dengan harapan kemasukannya dapat mengembalikan gelaran Eredivise ke pangkuan kelab tersebut selepas kali terakhir menjuarainya pada 2021/22.
Bagaimanapun, 10 gol yang dicatatkannya dalam saingan liga belum cukup untuk memastikan kelab tersebut menjuarai saingan tersebut selepas mereka hanya dibezakan satu mata berbanding PSV Eindhoven.
Sumbangan sedemikian diharapkan mampu diulangi bagi kempen akan datang kerana berdasarkan laporan, kontrak Weghorst bersama AFC Ajax hanya akan berakhir pada musim panas 2026 dengan tiada perancangan untuk berpindah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram