Legenda MU, Liverpool ‘sekepala’ kritik penyerang Red Devils


  • Podium
  • Selasa, 04 Apr 2023

Weghorst (kiri) masih gagal untuk menjadi gandingan terbaik Rashford pada musim ini. — Getty Images

BEKAS tonggak Liverpool, Jamie Redknapp dan legenda Manchester United, Gary Neville mengenal pasti masalah terbesar Manchester United pada musim ini.

Kedua-dua bekas pemain kebangsaan England itu menegaskan bahawa penyerang United, Wout Weghorst merupakan punca skuad di bawah bimbingan Eric Ten Hag kehilangan mata beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Weghorst telah bermain hampir setiap perlawanan sejak dipinjamkan pada Januari dan dia masih menunggu untuk menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris (EPL) pertamanya.

Walaupun cara kerjanya tidak dapat dinafikan namun Weghorst juga antara penyebab dalam kekalahan 0-2 Man United kepada Newcastle pada Ahad.

Weghorst menyentuh bola kurang daripada pemain lain yang memulakan permainan dan dia digantikan oleh Anthony Martial pada separuh masa kedua.

Legenda Liverpool itu dengan mudahnya berkata, bahawa penyerang Belanda itu tidak cukup berkualiti untuk menjadi pemain yang menggerakan bahagian depan United.

“Apa yang ditunjukkan oleh persembahan itu sepanjang musim dan apa yang kita lihat hari ini (Ahad) ialah memerlukan pemain.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai pemain bernombor sembilan, Weghorst merupakan mimpi ngeri. Dia tidak cukup baik. Jika Man United mahu bersaing untuk memenangi gelaran mereka perlu pergi dan mencari penyerang terbaik. Mereka sudah lama memerlukannya untuk berganding bersama Rashford,” katanya.

Redknapp juga berkata, bahawa bahagian tengah United tidak akan menakutkan pasukan lawan apabila Casemiro dan Christian Eriksen tidak turun beraksi.

"Anda tidak takut bermain menentang Marcel Sabitzer atau Scott McTominay sekarang. Anda tahu apabila Bruno Fernandes mengalami hari yang baik, dia akan menjadi sukar.

“Tapi apabila dia mengalami hari yang buruk, dia tidak akan beraksi dengan cukup cemerlang dan tidak menunjukkan contoh yang betul," katanya.

Nevile juga senada dengan Redknapp bahawa masalah Man United adalah Weghorst.

Meskipun kecewa dengan persembahan bekas kelabnya itu namun dia mengambil berat tentang prestasi Man United.

Neville nampaknya percaya bahawa United boleh menewaskan Brentford dan Everton dalam beberapa hari akan datang dan semuanya akan kelihatan baik sekali lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram