KEM latihan skuad The Oranje dilaporkan bergolak selepas dua pemain iaitu Wout Weghorst dan Jurrien Timber terlibat dalam pertengkaran ketika satu sesi yang diadakan pada Ahad.
Berdasarkan laporan media antarabangsa, pertelingkahan berlaku selepas Timber yang merupakan pemain pertahanan melakukan bentesan kasar terhadap rakan senegaranya itu.
Ini juga dapat disaksikan menerusi klip berdurasi seminit 50 saat yang dimuat naik ESPN NL dengan penyerang tinggi lampai itu kelihatan terhenjut-henjut akibat kekasaran dialaminya.
BACA LAGI: Legenda MU, Liverpool ‘sekepala’ kritik penyerang Red Devils
BACA LAGI: [VIDEO] Kritik padang di Jerman tak halang Belanda tundukkan Poland
Tindakan itu menyaksikan Weghorst terduduk sambil menahan kesakitan dengan mereka kemudiannya berperang mulut sehingga mendesak pengurus, Ronald Koeman untuk masuk campur.
Namun, kehadiran bekas pengendali Barcelona itu tidak meredakan keadaan apabila Weghorst kelihatan berang akan kekasaran dilakukan bek Arsenal berkenaan sepanjang latihan.
Malah, selepas sesi berkenaan tamat, pemain berusia 32 tahun tersebut bertindak meninggalkan kompleks latihan dengan ia sudah tentu mencetuskan keretakan dalam kem Belanda.
Dalam perlawanan antarabangsa baru-baru ini, Weghorst serta Timber dimasukkan sebagai pemain gantian ketika pasukan mereka menumpaskan Bosnia and Herzegovina dengan keputusan 5-2 pada aksi Liga Negara UEFA.
Weghorst segera meninggalkan padang latihan selepas sesi itu berakhir. — Agensi
Weghorst turut memberikan impak tersendiri dalam pertembungan yang berlangsung di Philips Stadion, Belanda apabila menjaringkan gol keempat bagi pasukannya.
Jadi, dia sudah tentu berharap dapat berada dalam kesebelasan utama bagi perlawanan akan datang ketika skuad The Oranje berdepan Jerman di laman sendiri pada Rabu.
Tetapi, sekiranya dia terus mengalami kecederaan, Koeman sudah tentu perlu memikirkan alternatif lain dalam barisan serangan dengan Joshua Zirkzee merupakan pilihan utamanya.
Bagi Timber pula, kemasukannya pada aksi sebelum ini dilihat sedikit berbeza kerana dia menggantikan Jerdy Schouten yang merupakan pemain tengah.
Dia yang sepatutnya beraksi di barisan pertahanan bagaimanapun terpaksa menerima setiap peluang diberikan di peringkat antarabangsa apabila kecederaan lalu menyaksikannya sukar meraih minit permainan secara kerap. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram