
LEGENDA Manchester United, Ryan Giggs percaya bekas pasukannya itu tidak akan berdepan masalah untuk mengatasi Tottenham Hotspur dalam aksi final Liga Europa UEFA (UEL) pada Khamis depan.
Pandangan itu dikongsikan bagi menepis sikap spektikal sesetengah penyokong yang kurang percaya akan kebolehan skuad kendalian Ruben Amorim selepas prestasi tidak menentu di pentas domestik.
"Saya berasakan standard The Red Devils dalam 20 ke 30 tahun kebelakangan ini cukup baik, tetapi ia sedikit menurun dalam dua musim ini. Namun, kita tetap meraih trofi sepanjang tempoh itu," kata Giggs.
BACA LAGI: Hajat Amorim bawa masuk pengganti Onana tak direstui Man United
BACA LAGI: Simpati staf dapat layanan berat sebelah Man United, Amorim keluar duit poket sendiri ke Bilbao
Giggs (tengah) ketika sidang media di sebuah hotel sekitar ibu negara pada Sabtu.
Pemain dengan penampilan terbanyak buat Manchester United itu berkata demikian dalam sesi sidang media menjelang aksi persahabatan antara Manchester United dan Asean All Stars pada Sabtu.
Skuad The Red Devils berpeluang menutup kekecewaan terhadap musim 2024/25 yang mengecewakan sekiranya menjuarai UEL yang sekali gus menjadi tiket buat mereka bersaing dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) akan datang.
Ini kerana dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United berada di tangga ke-16 selepas hanya mengumpul 39 mata daripada 37 aksi dengan 18 kekalahan dialami dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, cabaran sukar menanti kerana Tottenham yang turut bergelut dalam saingan domestik turut mendambakan kejuaraan tersebut dalam usaha menamatkan penantian 17 tahun tanpa trofi.
Manchester United dan Tottenham Hotspur akan merebut takhta UEL musim ini.
Pertembungan kedua-dua pasukan itu sudah tentu menarik untuk disaksikan pada perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Stadium San Mames, Bilbao, Sepanyol pada Khamis depan.
Dalam pada itu, Giggs yang memiliki dua gelaran UCL bersama Manchester United berkata, prestasi tidak menentu musim ini akan membuka mata Amorim mengenai kepincangan dalam pasukan.
"Saya fikir Amorim sedar bahawa dia tidak boleh bersaing di Eropah dan di pentas domestik menggunakan skuad sedia ada. Jadi, dia memiliki tugas besar bagi jendela perpindahan akan datang. Saya berharap pihak pengurusan kelab dapat memberi sokongan mencukupi kepadanya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram