Hajat Amorim bawa masuk pengganti Onana tak direstui Man United


  • Podium
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Amorim (kiri) bersedia mencari pengganti kepada Onana pada jendela perpindahan kali ini. — Agensi

MASALAH besar dari segi pertahanan dapat disaksikan dalam Manchester United musim ini apabila mereka dibolosi sebanyak 53 kali dalam 36 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.

Ramai beranggapan isu berkenaan berpunca daripada kesilapan berterusan daripada penjaga gawang, Andre Onana di sebalik isu kebocoran benteng pasukan.

Hal tersebut menerima perhatian pengurus pasukan, Ruben Amorim yang mahu melakukan perubahan terhadap posisi tersebut meskipun masih tiada pengganti dikenal pasti pengendali The Red Devils berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Amorim sahkan Bruno Fernandes, Maguire, Onana turun beraksi di KL

BACA LAGI: Onana-Altay ditunjuk pintu keluar, penjaga gol Serie A jadi pilihan Man United

Kesilapan yang terlalu kerap dilakukan Onana hanya merugikan skuad The Red Devils. — Agensi

Bagaimanapun, hasrat jurulatih dari Portugal itu seperti tidak kesampaian kerana pihak pengurusan Manchester United enggan membawa masuk penjaga gol baharu pada musim panas ini.

Pendirian tersebut ditunjukkan kerana masih terdapat pelbagai posisi perlu diperkuatkan dalam pasukan berkenaan dengan benteng pertahanan terakhir itu bukanlah fokus utama mereka.

Manchester United sebelum ini membuat pelaburan mencecah £47 juta (RM275 juta) untuk mendapatkan pemain kebangsaan Cameroon tersebut pada 2023 dengan harapan dia dapat menggantikan David de Gea.

Namun, selepas dua musim bersama skuad The Red Devils, Onana terus bergelut dalam menampilkan aksi konsisten buat kelab berkenaan meskipun berjaya membantu mereka menjuarai Piala FA 2023/24 selain membawa pasukannya ke pentas akhir Liga Europa UEFA (UEL) musim ini.

Wilcox yang merupakan pengarah teknikal Manchester United menganggap kelab itu tidak memerlukan penjaga gol baharu. — Agensi

Jadi, Amorim mahu melakukan perubahan dengan menyingkirkan penjaga gol berusia 29 tahun berkenaan dan mencari mana-mana pengganti bersesuaian sebelum pemulaan kempen baharu.

Antara pemain yang sudah disasarkan bekas pengendali Sporting CP itu adalah bintang FC Porto, Diogo Costa dan Lucas Chevalier dari kelab Perancis, Lille yang masing-masing pasti tidak membebankan kantung kewangan pasukan.

Misinya itu bagaimanapun berdepan halangan besar kerana pengarah teknikal kelab, Jason Wilcox tidak meletakkan posisi tersebut sebagai fokus utama dan hanya membawa pemain baharu sekiranya Onana meninggalkan skuad The Red Devils.

Sekiranya Amorim gagal mendapatkan penjaga gol baharu, kepercayaan penuh perlu diletakkan di bahu Onana bagi musim akan datang sementara mencari cara untuk mengurangkan setiap kesilapan dilakukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram