Amorim kekal walaupun tewas final Europa, nama Zidane masih meniti di bibir fans Man United


  • Podium
  • Ahad, 18 Mei 2025

Ruben Amorim akan terus kekal di Manchester United.

BERITA gembira buat penyokong Manchester United kerana walau apa yang terjadi, Ruben Amorim akan terus kekal mengendalikan kelab itu.

Hal ini kerana, laporan di England menyebut, United tidak bercadang untuk memecat Amorim dari jawatannya sekiranya kelab itu tewas kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa (UEL).

Ia disebabkan mereka masih menganggap Amorim masih lagi merupakan individu tepat untuk membawa United ke arah yang betul.

BACA LAGI: Hajat Amorim bawa masuk pengganti Onana tak direstui Man United

BACA LAGI: Simpati staf dapat layanan berat sebelah Man United, Amorim keluar duit poket sendiri ke Bilbao

Jim Ratcliffe tidak sanggup melihat Ruben Amorim pergi.

Malah, mereka bersedia untuk memberikan sokongan dari segi nilai kewangan kepada Amorim bagi mendapatkan pemain terbaik pada jendela perpindahan musim panas kelak.

Logik di sebalik keputusan untuk tidak memecat Amorim adalah kerana pengurus itu sedang sibuk membentuk barisan pemain yang akan direkrut pada musim depan.

Amorim bekerja rapat dengan ketua pegawai eksekutif, Omar Berrada serta pengarah teknikal, Jason Wilcox dalam mengejar beberapa pemain termasuklah bintang Wolverhampton Wanderers iaitu Matheus Cunha.

Berrada dan Wilcox dikatakan mempunyai 'lesen besar' dalam menentukan satu-satu pemain itu akan menyertai United atau tidak.

Keputusan tersebut pastinya mengecewakan sesetengah penyokong United yang sebelum ini mengharapkan Zinedine Zidane akan mengetuai barisan The Red Devils.

Dalam masa yang sama, pemilik United, Sir Jim Ratcliffe juga tidak berminat untuk melepaskan Amorim selepas dia melantiknya menggantikan Erik ten Hag.

Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan Amorim sedia meletakkan jawatan sekiranya keadaan semakin menyukarkan di United.

Namun begitu, laporan menyebut yang Amorim tidak berhasrat untuk meletakkan jawatan kerana jika itu berlaku, peluang untuk United mendapatkan pemain baharu akan terbantut.

Pengaruh Amorim sangat penting dalam membawa masuk pemain ke United dan kerana itu, mereka sedia mengekalkannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram