
LEGENDA Manchester United, Roy Keane meluahkan rasa kesal dan gusar mengenai situasi semasa kelab itu selepas mereka kalah lagi.
United kalah kepada Chelsea 0-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Jumaat sekali gus mencatatkan kekalahan ke-18 dalam liga.
Gol tunggal Marc Cucurella itu sudah cukup untuk membuatkan Chelsea naik ke tangga keempat sekali gus berpeluang beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan.
BACA LAGI: Bakat sahaja tak cukup, Roy Keane anggap Bruno Fernandes kapten tak boleh diharap
BACA LAGI: Roy Keane balun bintang Liverpool lepas Scotland dibelasah Jerman
Bagi Keane, musim United sekarang sememangnya terletak kepada perlawanan akhir Liga Europa bertemu Tottenham Hotspur.
Jika mereka menang, United akan layak ke UCL musim hadapan walaupun menamatkan liga di kedudukan yang begitu hampir dengan zon penyingkiran.
Seandainya kalah, Keane bimbang tiada lagi pemain yang mahu berpindah ke United kerana kelab sudah tidak sehebat dulu.
"Anda duduk dan lihat beberapa pasukan lain, dan anda berfikir sebentar. Anda katakan yang mereka secara teknikalnya sangat bagus, mereka cergas dan hebat, mereka bagus dalam situasi bola mati. Anda lihat United dan terfikir, mereka tak bagus dalam apa-apa pun.
"Jika mereka tidak memenangi Liga Europa, saya rasa tiada lagi pemain yang mahu ke Manchester United. Saya tak rasa akan ada pemain yang mahu bermain untuk United. Keterujaan itu sudah berakhir di kelab ini," jelas Keane.
Dalam masa yang sama, Keane turut berpendapat yang para penyokong tidak lagi marah dengan apa yang berlaku terhadap kelab.
Sebaliknya, mereka lebih kepada pasrah dengan apa yang berlaku. Malah, perkara serupa terjadi kepada pengurus iaitu Ruben Amorim.
"Para penyokong, saya rasa yang mereka tidak lagi marah kepada pasukan. Mereka sudah pasrah. Malah pengurus ketika sesi temu ramah pun menunjukkan yang dia sudah pun pasrah.
"Anda perlu menjadi realisitik, tapi anda masih perlu tunjukkan emosi dan sedikit kemarahan. Saya rasa penyokong United akan pulang dan berpendapat yang mereka sudah agak perkara ini (kalah kepada Chelsea) akan terjadi. Itu perkara yang amat menyedihkan," ujar Keane. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram