'Jangan terlalu harapkan Bruno,' Giggs percaya Man United perlu perkuat barisan hadapan


  • Podium
  • Sabtu, 17 Mei 2025

Giggs percaya perubahan segera perlu dilakukan sekiranya Manchester United mahu bersaing di pentas domestik dan Eropah.

PELBAGAI kekurangan dapat disaksikan dalam skuad The Red Devils ketika ini dengan pelbagai rekrut pada jendela perpindahan diperlukan segera sekiranya mereka mahu menutup segala kelemahan.

Hal tersebut diakui legenda kelab tersebut, Ryan Giggs yang menganggap barisan hadapan pasukan perlu diperbaiki kerana ia menghalang skuad The Red Devils meraih lebih banyak mata.

“Saya percaya kejayaan sesebuah kelab boleh dilakar berdasarkan tunjang utama pasukan. Jadi, saya berasakan penyerang dan pemain di bahagian tengah. Saya melihat proses merekrut pemain dalam tempoh 10 tahun terakhir agak mengecewakan.

BACA LAGI: Prestasi liga tak menentu, Giggs percaya Man United tiada masalah muncul juara UEL tewaskan Spurs

BACA LAGI: Simpati staf dapat layanan berat sebelah Man United, Amorim keluar duit poket sendiri ke Bilbao

Hojlund (kiri) dan Zirkzee boleh dianggap sebagai dua rekrut mengecewakan di posisi serangan.

"Pemain di posisi sayap menyerang turut diperlukan kerana jika dilihat kepada (Alejandro) Garnacho dan (Patrick) Dorgu, ia menunjukkan kita masih memerlukan rekrut di posisi terbabit," katanya.

Bekas penyerang sayap antarabangsa Wales tersebut berkata demikian dalam sesi sidang media sebelum perlawanan persahabatan antara Manchester United dan Asean All Stars pada Sabtu.

Pandangan sebegitu sudah berkali-kali dilontarkan penyokong dan bekas pemain Manchester United meskipun kelab tersebut sudah membawa masuk rekrut baharu di posisi tersebut beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia termasuk gandingan Joshua Zirkzee dan Rasmus Hojlund yang menelan perbelanjaan mencecah £108 juta (RM615.5 juta), namun kedua-duanya gagal memberi impak seperti mana diharapkan.

Jadi, pihak pengurusan serta pengendali pasukan, Ruben Amorim perlu mengenal pasti penyerang terbaik yang dapat menepati kriteria serta kemahuan diperlukan Manchester United bagi tempoh jangka masa panjang.

Sikap Bruno kadang kala dipertikaikan, namun ia tidak menghalangnya daripada memberi impak cukup besar.

Dalam pada itu, Giggs yang menjuarai 34 gelaran sepanjang bersama kelab tersebut beranggapan harapan penuh tidak boleh diletakkan di bahu kapten pasukan, Bruno Fernandes dalam mencetak jaringan.

"Kita perlu menjaringkan lebih banyak gol, tidak boleh terlalu bergantung kepada Bruno untuk peranan tersebut. Jadi, itu satu juga masalah ketara ketika ini," katanya.

Sejak menyertai Manchester United pada 2020, Bruno sudah mencatatkan 98 gol dan 86 bantuan jaringan daripada 288 penampilan yang menceritakan kepetingannya dalam pasukan meskipun sudah beberapa kali dikritik atas disiplin serta sikapnya.

Ini termasuk Roy Keane yang pernah mempertikaikan nilai kepimpinannya dengan isu sebegitu sudah tentu menjadi buah mulut rata-rata penyokong yang tidak terkecuali mengkritik pemain antarabangsa Portugal itu.

Namun, masing-masing sukar mempersoalkan sumbangan Bruno yang dilaporkan sanggup menolak tawaran kelab luar demi meletakkan Manchester United kembali ke landasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram