Bukan setakat lantik jurulatih baharu, Akmal Rizal nasihat KDN peka isu kewangan


  • Podium
  • Isnin, 19 Mei 2025

Akmal Rizal pernah mewakili skuad TRW ketika kelab tersebut berada di zaman kegemilangan mereka.

BARU-BARU ini, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa memberi pandangan bahawa Kelantan Darul Naim (KDN) FC memerlukan pengendali baharu yang berpengalaman bersama skuad kebangsaan.

Tidak terhenti di situ, bekas Ahli Parlimen Ketereh tersebut turut menegaskan jurulatih baharu perlu bersedia menerima bayaran gaji sederhana memandangkan pasukan berkenaan berada dalam proses pembinaan semula.

Kedua-dua ciri terbabit sudah tentu sukar untuk dipenuhi kerana seseorang dengan pengalaman di peringkat antarabangsa pasti mahu bayaran lumayan setanding dengan kebolehan dimiliki.

BACA LAGI: Annuar Musa bangga DNA TRW 'mendonia' ke Eropah, tapi benarkah bintang Arsenal anak legenda Kelantan?

BACA LAGI: Bintang Sri Pahang, Penang dan Perak wajar disambar sertai revolusi bola sepak Kelantan

Annuar Musa (kiri) mengharapkan bola sepak di Kelantan mampu dihidupkan semula. Facebook/Tan Sri Annuar Musa

Bagaimanapun, dengan aura bola sepak di negeri itu masih utuh, tidak mustahil sekiranya skuad Kijang Emas bakal dikendalikan seseorang yang pernah berada dalam skuad kebangsaan sebelum ini selain terbuka menerima bayaran rendah.

Tetapi, perubahan barisan kejurulatihan seperti tidak cukup bagi mengembalikan KDN FC ke landasan kerana masih terdapat banyak perubahan perlu diambil bagi memberi nafas baharu kepada kelab berkenaan.

Bagi Akmal Rizal yang pernah berjasa di Kelantan berbelas tahun lalu, dia memberi nasihat dan peringatan kepada pihak pengurusan supaya berbelanja secara berhemah supaya masalah di luar padang tidak lagi berlaku.

"Perkara yang perlu dilakukan adalah dengan melihat status kewangan pasukan. Mereka perlu ada bajet yang baik dan dapat mengawal perbelanjaan sepanjang tahun. Saya berharap tiada lagi isu tentang gaji untuk pasukan ini.

Akmal Rizal enggan menyaksikan kelab dari Kelantan bergelut dari segi kewangan sekali lagi.

"Ini kerana sayang sekiranya kelab besar seperti Kelantan, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC dan Perak FC tidak lagi berada dalam liga kita kerana masalah menggagalkan pasukan untuk bertanding dalam Liga Malaysia," katanya kepada Majoriti.

KDN FC yang pada 2023 dikenali sebagai Kelantan United FC sememangnya diharapkan dapat mengembalikan kemeriahan bola sepak di negeri itu selepas The Red Warrios (TRW) bergelut di bawah kendalian Norizam Tukiman.

Bagaimanapun, isu sama sekali lagi berulang apabila laporan mengatakan pemain Kijang Emas tidak menerima bayaran gaji untuk kira-kira tujuh bulan sehingga mereka gagal menampilkan aksi terbaik di atas padang.

Kemelut berterusan tersebut kemudian menyaksikan kelab Pantai Timur itu berada di tangga tercorot Liga Super 2024/25 dengan hanya tujuh mata dikumpul daripada 24 perlawanan sepanjang musim.

Skuad Kijang Emas berada dalam prestasi mengecewakan musim lalu akibat masalah pengurusan. Facebook/KDN FC

Ini termasuk beberapa kekalahan memalukan dialami sepanjang kempen yang menyaksikan KDN FC dibolosi 82 kali yang sudah tentu menjadi salah satu rekod paling buruk dalam sejarah pertandingan.

Dalam pada itu, Akmal Rizal yang juga bekas pemain Harimau Malaya turut memuji usaha bersama pelbagai pihak dalam menghidupkan sukan bola sepak di negeri yang pernah dilimpahi pelbagai momen manis berkenaan.

"Kita tahu bola sepak di Kelantan cukup unik dengan penyokong yang pasti memenuhi setiap tempat duduk apabila pasukan berada dalam kedudukan terbaik dan memiliki pemain berkualiti.

"Saya berasa memang wajar bagi KDN FC yang kita lihat giat mempersiapkan pasukan untuk menghadapi musim baharu nanti. Saya harapkan yang terbaik dan saya harap Kelantan akan kembali memberi saingan dalam Liga Super," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram