
KENANGAN meraih gelaran treble buat Kelantan FC sudah menjadi memori lampau kerana ia sudah lama pada 2012.
Namun begitu, sehingga kini penyokong The Red Warriors masih lagi terjatuh hati dengan alumni skuad 2012 mereka terutamanya dengan ketua pasukan iaitu Badhri Radzi.
Pada usia 42 tahun, Badri atau mesra dikenali sebagai Piya masih lagi mampu menonjolkan skilnya yang berjaya mencuri hati penyokong di stadium.
BACA LAGI: Bintang Sri Pahang, Penang dan Perak wajar disambar sertai revolusi bola sepak Kelantan
BACA LAGI: [VIDEO] Kelantan Darul Naim kembali bernafas, CEO baharu tekad mulakan musim tanpa hutang
Dalam perlawanan persahabatan antara Regles Allstar FC dengan Carabat FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat, Badhri mencuri tumpuan dengan persembahan memukaunya di depan lautan merah putih.
Skuad yang turut dibarisi alumni treble 2012 Kelantan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha serta Daudsu Jamaluddin turut menentang Carabat yang merupakan kelab milik pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad.
Perlawanan tersebut dimenangi oleh Regles dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria. Akan tetapi, persembahan Badri menjadi tumpuan kerana prestasinya seolah-olah tidak pernah berkarat.
Ibarat tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, Badri sentiasa mengingatkan kepada penyokong kenapa dia adalah ketua pasukan paling berjaya dalam sejarah The Red Warriors.
"Cantik betul hantaran ketua pasukan kita, kaki tidak dimamah usia," kata penyokong bernama Mohamad Nahafezul.
"Skil Piya tetap kekal, kekal sampai mati. Cuma usia yang bertambah," ujar Fazriel Aiman.
"Hantaran Piya memang kelas A," komen Fadliesha Rusli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram