
SEHINGGA hari ini, pengaruh Tan Sri Annuar Musa dalam landskap bola sepak di Kelantan masih dirasakan kerana rata-rata peminat di negeri tersebut masih mengharapkan sentuhannya.
Ini kerana ketika zaman kegemilangan di negeri Pantai Timur itu, bekas Ahli Parlimen Ketereh tersebut memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan yang menyaksikan pelbagai momen manis direkodkan.
Selain bijak membawa masuk bintang lokal dari pencabar Liga Super yang lain, skuad The Red Warriors (TRW) ketika itu dibarisi lambakan pemain import amat berkualiti dengan masing-masing jarang mengecewakan.
BACA LAGI: Gelaran treble antara 3 sebab kehilangan TRW amat dirasai peminat fanatik
BACA LAGI: Brendan Gan balik Australia, pernah kena 'reject' beraksi di Liga M
Antara import paling bersinar dalam Kelantan FA ketika itu adalah bek tengah dari Nigeria, Obinna Nwaneri yang dibawa masuk pada 2012 dari kelab Kuwait, Kazma FC.
Persembahannya yang kental tetapi memiliki kelajuan untuk menutup kesalahan menjadikannya salah seorang import paling sukar dilupakan, lebih-lebih lagi kerana dia menjadi watak utama ketika era kegemilangan skuad TRW.
Sumbangannya itu juga sukar dilupakan Annuar Musa sendiri yang kembali menyebut nama pemain berusia 42 tahun terbabit sambil mengatakan Obinna mempunyai legasi besar dalam dunia bola sepak.
"Ingatkah kita pemain pertahanan The Red Warriors, Obinna Nwaneri? Anaknya kini bermain di EPL (Liga Perdana Inggeris) untuk pasukan Arsenal," tulisnya menerusi akaun Facebook peribadinya pada Khamis.
Pemain yang dimaksudkan bekas Presiden KAFA itu ialah prospek muda skuad The Gunners, Ethan Nwaneri yang mula mencipta nama kebelakangan ini apabila menjaringkan gol ketika berdepan Manchester City.
Obinna merupakan seorang import kental ketika zaman kegemilangan skuad TRW.
Meskipun baru berusia 17 tahun, gaya permainan 'ubi muda' England itu mempamerkan hal sebaliknya kerana dia kelihatan matang dalam mengawal bola selain pergerakannya mengelirukan pihak lawan.
Namun, kenyataan diberikan Annuar Musa adalah tidak tepat kerana berdasarkan carian di laman sesawang, anak buah Mikel Arteta berkenaan tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Obinna Nwaneri.
Dalam satu artikel dikeluarkan All Nigeria Soccer pada 2024, bapa kepada Ethan iaitu Obi Nwaneri menafikan mereka berkait dengan bekas pemain kebangsaan Nigeria tersebut.
Meskipun mempunyai nama keluarga yang sama, ia tidak menceritakan pertalian darah antara kedua-dua pemain itu meskipun prospek hangat Arsenal itu mempunyai susur galur dari negara Afrika terbabit.
Ini sekali gus menceritakan kesilapan daripada Annuar Musa yang mungkin tersilap mengenai perkara terbabit dengan beberapa penyokong sudah menegurnya di ruangan komen hantaran berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram