
PROJEK mega Terusan Super Kra, kini dikenali sebagai Projek Land Bridge, dijangka mengubah landskap ekonomi selatan Thailand apabila pembinaannya dilapor bermula hujung 2025.
Laluan darat sepanjang 95 kilometer merentasi Genting Kra itu akan menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik serta menyediakan laluan alternatif kepada Selat Melaka yang kini berdepan kesesakan.
Malah, dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah lebih daripada 1 trilion baht (RM12 bilion), projek itu disifatkan sebagai antara inisiatif paling berani dan strategik pernah dicadangkan oleh kerajaan Thailand.
BACA LAGI : Bermula secara tidak sengaja, Boss Mama kini tembusi pasaran antarabangsa, solusi buat ibu moden
BACA LAGI : PTPTN umum dividen Simpan SSPN 4.05% Tertinggi dalam tempoh 10 tahun
Dalam pada itu, memetik laporan Pulitzer Center, Kementerian Pengangkutan Thailand menyatakan projek itu bakal menjadikan negara itu sebagai hab logistik utama serantau.
Land Bridge turut disasarkan untuk meningkatkan peranan ekonomi wilayah selatan Thailand dengan pembangunan pelabuhan laut dalam, lebuh raya moden dan sistem kereta api berkembar.
Kajian oleh Thailand Development Research Institute (TDRI) mengunjurkan pertambahan KDNK sebanyak 1.5 peratus dan penciptaan lebih 280,000 pekerjaan baharu, terutama di kawasan kurang membangun seperti Ranong dan Chumphon.
Peta yang menunjukkan laluan yang dirancang untuk menghubungkan Laut Andaman dan Teluk Thailand. — Agensi
Fasa pertama projek bernilai 520 bilion baht (kira-kira RM 67 bilion) melibatkan pembinaan pelabuhan Ranong dan Chumphon yang masing-masing berkapasiti 6 juta dan 4 juta bersamaan dua puluh kaki (TEU), bersama pembinaan lebuh raya empat lorong dan sistem kereta api pintar.
Pembinaan dijangka bermula pada penghujung 2025 dan akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2030, menurut kenyataan rasmi daripada Jabatan Perancangan Pengangkutan dan Lalu Lintas Thailand.
Kerajaan Thailand turut menggalakkan pelaburan asing ke dalam projek itu, dan setakat ini lebih 100 syarikat antarabangsa menyatakan minat menyertai pembangunan tersebut.
Pada masa sama, projek itu dilihat dapat mempercepatkan masa penghantaran barangan antarabangsa ke pelabuhan di Asia Timur, sekali gus memberi peluang limpahan ekonomi kepada negeri sempadan Malaysia.
Dua negeri terutamanya Kelantan dan Kedah dilihat berpotensi menjadi pusat pemindahan kargo dan logistik rentas sempadan.
Land Bridge turut disasarkan untuk meningkatkan peranan ekonomi wilayah selatan Thailand dengan pembangunan pelabuhan laut dalam, lebuh raya moden dan sistem kereta api berkembar. — Gambar Hiasan/Agensi
Projek Projek Land Bridge itu turut dikongsikan di laman Facebook KelateKia dan mendapat respon yang positif dalam kalangan warga maya.
Seorang pengguna media sosial, Ridz Hussein, meluahkan harapan agar negeri Pantai Timur turut tidak ketinggalan dalam pembangunan tersebut.
"Semoga Kelantan dapat manfaat dengan projek tersebut sebab Kelantan paling hampir dengan laluan ini," katanya
Pandangan ini turut dikongsi oleh ramai pengguna lain yang melihat peluang baharu buat usahawan tempatan dan sektor logistik di negeri terbabit.
Malah, menurut seorang warga maya, Zul Helmi berkata, infrastruktur rel sedia ada seperti Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang menghubungkan Singapura ke Tumpat, Kelantan dan Kayu Hitam, Kedah turut dilihat sebagai pelengkap kepada projek berkenaan.
"Kita kembali ke sistem lama, KTM yang berhubung terus dari Singapura ke Tumpat dan Kayu Hitam. Tak perlu risau, sebab seluruh laluan rel ini dah dinaik taraf sejak 2020.
"Sehari mampu tarik 100 gerabak kontena pergi dan balik," katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Firdaus Ismail turut memberi respons yang positif berhubung projek tersebut.
"Bagi sesetengah pihak, ini masa terbaik untuk negeri utara dan timur Semenanjung mengambil inisiatif sendiri.
"Negeri Pantai Timur dan negeri utara Perlis serta Kedah boleh mula bina pelabuhan dah. Kuasa ekonomi baru," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram