
BARU-BARU ini, Terengganu FC dilaporkan sudah kehilangan khidmat penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang tidak langsung beraksi sepanjang kempen 2024/25 akibat masalah kecederaan dialaminya.
Ketiadaannya dalam pasukan amat dirasai kerana skuad Sang Penyu tidak memiliki peledak berkualiti untuk mengulangi catatan 23 gol dalam semua pertandingan yang pernah dicatatkan pada musim pertamanya.
Pemergian penyerang tinggi lampai itu memberi gambaran kelab Pantai Timur terbabit akan terus melakukan rombakan selepas mengalami kempen yang suram di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner serta Badrul Afzan Razali.
BACA LAGI: 'Romel pun dah main HM', fans Terengganu bingung kelewatan luluskan status naturalisasi Argzim
BACA LAGI: Masing-masing import TFC makin padu, tapi kualiti Argzim Redzovic jadi topik hangat
Bagaimanapun, Ivan Mamut bukanlah satu-satunya import yang meninggalkan Terengganu FC kerana pada Sabtu, Argzim Redzovic turut meletakkan tanda noktah terhadap tempoh perkhidmatannya buat pasukan terbabit.
Dalam satu hantaran di Instagram peribadinya, bek tengah kelahiran Macedonia itu mengumumkan pemergiannya dari kelab berkenaan sambil sempat menzahirkan rasa penghargaan terhadap pihak pengurusan.
"Ini merupakan bahagian paling sukar bagi saya apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang paling lama saya berkhidmat dalam karier. Inilah kehidupan, tiada apa yang kekal.
"Terima kasih kepada Terengganu FC atas enam tahun yang saya nikmati dan kerana memberi peluang menjadi kapten bagi salah sebuah pasukan terbaik dalam negara. Saya ingin berterima kasih kepada penyokong yang sering bersama kami ketika susah dan senang," katanya.
Argzim menyertai skuad Sang Penyu pada 2020 selepas terlebih dahulu menimba pengalaman dalam Liga Malaysia bersama PDRM FC selama dua musim yang membuka mata pihak pengurusan Terengganu FC terhadap bakatnya.
Argzim menikmati tempoh enam musim yang cukup menggembirakan bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, sepanjang berada di Pantai Timur, pemain berusia 33 tahun itu kurang diletakkan dalam kesebelasan utama, malah beberapa kali diturunkan ke skuad muda kerana terdapat lebih ramai bek tengah berbakat.
Peluang terhad tersebut tidak menjadi masalah buatnya kerana dia terus mencurahkan kesetiaan buat skuad Sang Penyu yang menyaksikannya menghabiskan tempoh enam musim di bumi Darul Iman.
"Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Terengganu FC, jurulatih dan rakan sepasukan atas pengalaman dikongsikan sepanjang di Terengganu. Amat sukar bagi saya menzahirkan perasaan ini. Terengganu sudah menjadi rumah saya sekeluarga dan akan kekal di hati buat selama-lamanya," tulisnya lagi.
Melihat kepada pasaran ketika ini, tidak dapat dipastikan pasukan manakah bakal dipilih Argzim bagi kempen akan datang dengan masalah kewangan beberapa kelab lain menyukarkannya mencari destinasi baharu.
Pilihan terbaik dimilikinya adalah untuk menyertai Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang berpangkalan di Pantai Timur atau pulang ke pangkuan PDRM FC yang tidak mengalami sebarang isu pengurusan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram