Legenda bola sepak tanah air khuatir nasib pemain domestik lepas banyak kelab keluar Liga M


  • Podium
  • Ahad, 18 Mei 2025

Datuk Santokh Singh mempersoalkan nasib pemain tempatan.

"NASIB pemain tempatan semakin tenggelam, tiada pasukan, tiada peluang".

Begitulah ungkapan yang dilontarkan oleh legenda bola sepak tanah air, Datuk Santokh Singh mengenai masa depan pemain tanah air.

Menurutnya, peluang untuk pemain tempatan menampilkan prestasi sebenar kini kian tertutup sekiranya banyak pasukan tanah air undur diri musim depan.

BACA LAGI: Berminat main di Malaysia, Selangor-Penang-Sabah perlu segera sambar 'ubi' Jepun cemerlang di Singapura

BACA LAGI: Liga Indonesia lebih mencabar, tiada kelab dominan seperti di Malaysia — Bojan Hodak

Legenda bola sepak tanah air, Datuk Santokh Singh. — Agensi

Beliau turut mengambil contoh beberapa pasukan Liga Malaysia yang kini semakin sah untuk menutup kedai.

"Pandangan saya, nasib pemain tempatan semakin tenggelam. Tiada pasukan, tiada peluang. 

"Lihat sahaja negeri-negeri seperti Terengganu FC, Kelantan, Pahang, dulu mereka ada pasukan yang bagus, tapi sekarang? Bahkan Kedah Darul Aman FC pun terkini menghadapi masalah," katanya kepada media ketika ditemui dalam Majlis Sports Flame di Concorde Ballroom,Kuala Lumpur pada Ahad.

Umum mengetahui, bola sepak tanah air kini berada dalam keadaan yang membimbangkan. 

Malah, ketiadaan Piala MFL dan kebergantungan kepada pemain import serta pemain warisan menambah tekanan kepada ekosistem bola sepak negara.

Tanpa perubahan segera dan pelan pembangunan yang jelas, masa depan bakat tempatan berisiko terhapus.

Mengulas mengenai isu tersebut, legenda bola sepak tanah air turut mempersoalkan keberkesanan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dalam melahirkan pemain yang benar-benar mampu memberi impak di peringkat tertinggi.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli berangkat ke majlis penuh nostalgia itu.

"Akademi Mokhtar Dahari ini, ada hasil? Itu persoalan besar.

"Mereka melatih lebih 50 pemain, tapi berapa orang yang betul-betul berjaya menyertai skuad kebangsaan? Mungkin seorang atau dua sahaja.

"Dari 50 orang, takkan tak boleh hasilkan sekurang-kurangnya 11 pemain berkualiti? Anda nilaikan sendiri," katanya.

Manisnya majlis yang berlangsung di ibu negara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menghadiri majlis penuh bermakna sempena sambutan ulang tahun ke-50 pencapaian bersejarah Malaysia di Piala Dunia Hoki 1975.

Kehadiran Baginda yang juga bekas pemain hoki kebangsaan serta individu penting dalam pentadbiran sukan negara, menyemarakkan suasana penuh kenangan itu yang turut disertai lebih 160 bekas atlet negara pelbagai era dan sukan.

Majlis anjuran ShekhinahPR itu menjadi platform mengimbas semula detik emas arena sukan tanah air, sekali gus memberi penghargaan kepada skuad hoki negara 1975 yang mencatat sejarah muncul pasukan terbaik dunia dari Asia apabila menamatkan kejohanan di tempat keempat.

Pencapaian skuad 1975 itu adalah prestasi terbaik skuad hoki negara di pentas Piala Dunia.

Sports Flame diasaskan empat bekas wartawan sukan, George Das, R Velu, Datuk Lazarus Rokk dan Datuk Fauzi Omar yang terus komited dalam usaha mengekalkan serta meraikan khazanah sukan Malaysia, khususnya dari era 1960-an, 70-an dan 80-an. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram