Anak jati Selangor hampiri sejarah jadi 'coach' lokal pertama julang trofi di Brunei


  • Podium
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Raja Isa yang cukup berpengalaman di luar negara berpeluang melakar sejarah peribadi di Brunei tidak lama lagi.

PENGENDALI berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah kini berpeluang melakar sejarah tersendiri untuk menjadi jurulatih pertama tempatan memenangi piala di Brunei Darussalam apabila membawa Indera SC ke pentas akhir Piala FA Brunei yang akan berlangsung pada Ahad.

Dia yang berpengalaman melatih lapan kelab di Indonesia dipilih pengurusan Indera SC pada 9 Mei lalu untuk membawa cabaran kelab itu di final menentang DPMM FC II, sekali gus membuktikan keyakinan kelab terhadapnya.

Selain pernah berkelana sekitar Indonesia, jurulatih berusia 59 tahun itu juga berpengalaman di Bangladesh selama tiga tahun ketika mengendalikan Muktijoddha SKC bermula 2020.

BACA LAGI: 'Tidak semua macam Mickey', 4 pemain hebat tapi 'flop' bersama Selangor sejak era RMS

BACA LAGI: Bola sepak Ramadan di Gaza berubah angkara perang dilancarkan Israel

Setiap momen bermakna pernah dinikmati di luar negara itu sudah pasti menjadi penyuntik semangat buat Raja Isa dalam membantu Indera SC mengulangi pencapaian muncul juara Piala FA Brunei musim 2017/18.

"Saya menerima tawaran dari pemilik kelab, Pengiran Anak Taha pada 9 Mei sebagai persiapan untuk Piala FA Brunei musim ini. Bagi saya, ini adalah satu bentuk kepercayaan yang besar buat saya dari pihak pengurusan untuk memastikan Indera SC mampu bersaing di final bertemu DPMM FC II.

"Saya berharap para pemain mampu fokus setelah beberapa tahun tidak ke final dan berdisiplin dalam menerapkan taktikal dan strategi untuk menang, sekali gus bergelar juara.

"Sebagai jurulatih luar, semoga dengan izin ALLAH, urusan kami dipermudahkan untuk muncul juara dan saya mampu mengibarkan bendera Malaysia tinggi seperti waktu saya melatih di Indonesia dan Bangladesh," katanya menjelang aksi final itu.

Raja Isa (tengah) ketika mengendalikan Muktijoddha SKC di Bangladesh bermula kira-kira lima tahun lalu. Instagram/Raja Isa

Meskipun baru memulakan tugasan di Brunei, Raja Isa melihat bola sepak di negara itu mempunyai potensi yang sangat besar dan dia berbangga kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar ekosistem sukan paling popular itu. 

"Pandangan peribadi saya adalah bola sepak di Brunei ini mempunyai potensi besar untuk berada di tahap terbaik dengan semua pihak harus bekerjasama bagi memastikan penerapan falsafah dan DNA yang sesuai untuk bola sepak Brunei," jelasnya.

Aksi sulung Raja Isa bersama Indera SC menyaksikan kelab itu berjaya menewaskan MS ABDB dengan keputusan 4-2 bagi membawa pasukannya mara ke pentas akhir menerusi agregat 7-3 dengan mereka kini hanya selangkah untuk bergelar juara.

Untuk rekod, jurulatih kelahiran Ampang, Selangor itu cukup sinonim dengan arena bola sepak Indonesia kerana pernah mengendalikan pelbagai kelab ternama, termasuk PSM Makassar dan PSPS Riau.

Namun, sepanjang kariernya dalam bidang berkenaan, Raja Isa hanya sempat mengendalikan sebuah kelab tempatan iaitu UiTM FC selama dua musim bermula 2015 sebelum pulang menimba pengalaman di luar negara.

Final Piala FA Brunei 2024-25 akan berlangsung di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah dengan Indera SC menerima cabaran juara bertahan DPMM FC II. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram