Terima kasih beri peluang, bintang JDT-Selangor tinggalkan kelab Thailand


  • Podium
  • Khamis, 15 Mei 2025

The King Tigers melepaskan tiga pemain bola sepak Asean selepas tamat kontrak pinjaman. — Instagram/nakhonpathom_united

DUA bintang muda Malaysia, Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil disahkan telah meninggalkan kelab Thai League 1, Nakhon Pathom United.

Perkara itu diumumkan oleh pihak pengurusan The King Tigers selepas memaklumkan bahawa khidmat tiga pemain import Asean mereka untuk musim 2024/25 telah berakhir.

Selain Tierney dan Muhammad, kelab tersebut turut mengesahkan bahawa tempoh pinjaman pemain pertahanan muda Indonesia, Meshaal Osman juga telah tamat.

BACA LAGI: Sumbangan mungkin tak seberapa, cuma tak mustahil JDT kekalkan 3 bintang termasuk Jese Rodriguez

BACA LAGI: [VIDEO] Pengganti Park Tae-su pernah ‘dicemburui’ VAR, terbabit kontroversi layangan kad kuning bertukar ‘straight’ merah

"Kelab Bola Sepak Nakhon Pathom United mengucapkan terima kasih kepada tiga pemain yang telah berjuang bersama pasukan.

"Pihak kelab turut merakamkan ucapan selamat maju jaya dan semoga terus cemerlang dalam perjalanan karier bola sepak masing-masing," menurut kenyataan rasmi kelab.

 

 

Tierney yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Muhammad Abu Khalil dari Selangor FC, masing-masing mencatatkan 13 dan lapan penampilan bersama Nakhon Pathom sejak dipinjamkan ke kelab itu pada Januari lalu.

Sepanjang tempoh itu, Tierney menunjukkan prestasi meyakinkan apabila berjaya menjaringkan tiga gol untuk The King Tigers.

Aksi konsistennya dilaporkan menarik perhatian dan mendapat kepuasan daripada pihak pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT), malah nama Tierney kini turut dikaitkan dengan perancangan skuad senior Harimau Selatan bagi menghadapi musim 2025/26.

Sementara itu, Abu Khalil mencatatkan lapan penampilan bersama Nakhon Pathom United sepanjang tempoh pinjamannya.

Walaupun peluang aksinya lebih terhad berbanding Tierney, kehadirannya tetap memberi sumbangan penting dalam memperkukuh barisan pasukan di pentas Thai League 1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram