
SKUAD sepak takraw negara mengesahkan kemaraan ke pentas final Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 selepas menewaskan Vietnam dalam aksi separuh akhir acara regu pada Khamis.
Beraksi di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Malaysia mengekalkan trio asal regu negara pada set pertama iaitu Shahir Rosdi sebagai tekong dan mengekalkan gandingan Farhan Adam selaku feeder dan Azlan Alias sebagai perejam.
Manakala, Vietnam pula dibarisi oleh Ngo Thanh Long sebagai tekong dan dua lagi pemain mereka iaitu Voung Minh Chau dan Huynh Ngoc Sang sebagai perejam mereka.
BACA LAGI: Vietnam menanti Malaysia lepas kejutkan Indonesia, lambakan pilihan jadi pemangkin skuad negara
BACA LAGI: Brunei ujian terbaik skuad regu kebangsaan, elak game tak menjadi saat-saat akhir
Sepanjang set tersebut, pasukan Vietnam cuba memecah dominasi Malaysia dengan membuat dua permintaan semakan video (challenge), namun kedua-duanya ditolak oleh pengadil selepas semakan mendapati keputusan asal adalah tepat.
Tekong tinggi lampai negara, Shahir bagaimanapun berdepan sedikit tekanan apabila beberapa servisnya tidak menjadi hingga menyaksikan memberikan mata percuma kepada pihak lawan.
Namun begitu, permainan mantap dari segi serangan dan kekuatan bertahan oleh regu negara memastikan kelebihan terus berpihak kepada Malaysia untuk mengungguli set pertama dengan keputusan 15-8.
Bersambung set kedua, jurulatih tanah air, Ahmad Mohd Zin membuat pertukaran di posisi tekong dengan mengeluarkan Syahir dan membawa masuk Haziq Hairul Nizam.
Kemasukan Haziq Hairul nyata tidak menganggu momentum perlawanan apabila servis yang dihasilkan olehnya berhasil menyingkirkan Vietnam dan mudah mara ke peringkat kalah mati dengan keputusan akhir 15-10.
Dalam pada itu, bercakap mengenai servis yang tidak menjadi, Syahir bersyukur apabila jurulatih regu bertindak memasukkan Haziq Hairul untuk mengubah rentak permainan.
“Sebenarnya kami bermain dalam tekanan. Jadi, setiap kali membuat servis dan bertahan, kami ingin membuat kesempurnaan. Dan bila nak buat macam tu, kami ada terganggu sikit. Momentum dah slow.
“Alhamdulillah, Haziq masuk balik dan momentum dapat balik. Jadi, bila dia masuk final, Alhamdulillah kami dah bebas dari tekanan itu dan dan dah free balik. Tadi semua dalam kepala otak kami memang nak lawan Thailand,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Menjelang aksi bertemu Thailand pada malam ini di venue yang sama, Syahir tidak kisah jika dia tidak diturunkan sebagai tekong utama dalam perlawanan tersebut.
Apa yang penting, skuad regu tanah air dapat memperoleh kemenangan ke atas Gajah Perang dengan memperbaiki aspek pertahanan, umpanan dan servis mereka.
“Dari segi pertahanan, dari segi umpanan, dari segi servis. Segala aspek memang kami kena baiki dengan masa yang ada untuk lawan Thailand. Saya pasti Thailand akan buat sehabis baik untuk mereka menembus balik kekalahan tahun lepas (Piała Dunia 2024).
“Dan saya harap kami tidak bermain dalam keadaan tekanan lah. Untuk diturunkan sebagai pemain utama, saya sedi. Jadi, harap kami lima-lima pemain akan bersedia.
“Walaupun sama ada saya main dulu ataupun Haziq main dulu, kami setiap saat bersedia. Tak kisahlah. Kalau itu memang strategi jurulatih. Kami sebagai pemain kena jalankan benda tu setiap hari baik,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram