'Tidak semua macam Mickey', 4 pemain hebat tapi 'flop' bersama Selangor sejak era RMS


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

RMS mula mengambil alih Selangor sepenuhnya bermula musim 2019. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC kini berada di landasan yang tepat untuk beraksi di pentas Asia apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe berada di kedudukan kedua liga dan sudah menempah slot ke peringkat separuh akhir Piala FA 2023.

Sejak dibimbing oleh Cheng Hoe pada musim lalu, Selangor berjaya mara ke pentas final Piala Malaysia 2022 dan hanya mencatatkan dua kekalahan musim ini dalam Liga Super 2023.

Sebelum Selangor menjadi seperti hari ini, penyokong-penyokong Gergasi Merah terpaksa bersabar selama empat tahun lebih sejak diambil alih oleh Tengku Amir Shah (RMS) pada 2019.

RMS yang mengambil alih Selangor dari Datuk Sri Subahan Kamal kini sudah mula menunjukkan peningkatan yang mendadak dari segi kualiti pemain dan fasiliti pasukan.

Musim pertama RMS bersama Selangor FC pada 2019.

Namun, tidak semua pemain yang sebelum ini hebat dengan pasukan terdahulu mampu meneruskan apa yang Mohamad Faisal Abdul Halim sedang buat di Selangor FC ketika ini.

Malah mungkin, ada di antara mereka yang sudah dilupai oleh penyokong Selangor kerana tempoh singkat pemain-pemain ini bersama skuad Gergasi Merah.

Majoriti senaraikan empat pemain yang pernah beraksi bersama Selangor FC namun tidak 'perform' bersama Gergasi Merah sejak era RMS:

Nurridzuan

Nurridzuan ketika mewakili Selangor FC pada musim 2019. Facebook

1. Nurridzuan Abu Hassan

Antara pemain yang meningkat naik bersama pasukan Perak FC sehingga berjaya menarik minat Tengku Mahkota Johor (TMJ) untuk membawanya ke Johor Darul Takzim (JDT) ketika berada di prestasi terbaiknya pada 2015.

Nurridzuan memulakan karier bola sepak bersama skuad Piala Presiden Perak yang mana ketika itu dia merupakan kapten pasukan telah berjaya membawa pasukan itu menjuarai Piala Presiden pada 2012.

Kejayaan itu telah membuatkan dia diserap ke skuad utama sehingga hujung musim. Nurri kemudian menyarung jersi Harimau Muda A selama dua tahun sebelum kembali ke Ipoh, Perak untuk bermain untuk The Bos Gaurus.

Ketika itu dia berada pada prestasi terbaik.

Dia kemudian berhijrah ke pasukan Sri Pahang, PKNS FC, Selangor dan Melaka United FC namun gagal mempamerkan prestasi terbaik menyebabkan kelibatnya kini tiada dalam saingan Liga Malaysia.

Norhakim Isa

Norhakim Isa hanya sempat melakukan dua penampilan bersama Selangor FC. Facebook/FA Selangor

2. Mohd Norhakim Isa

Norhakim Isa antara pemain muda yang meningkat naik bersama Perak FC, namun satu kerugian buat pasukan Selangor kerana dia tidak mampu mengulangi kejayaan seperti di pasukan terdahulu.

Pemain berusia 30 tahun itu mengikuti jejak langkah Nurridzuan yang tidak lagi beraksi di dalam saingan Liga Malaysia selepas mewakili Selangor FC.

Bersama Perak FC dia merupakan salah seorang prospek buat skuad kendalian Mehmet Duraković ketika itu.

Bekas pemain tengah Harimau Muda B ini juga berjaya membawa Perak FC ke pentas akhir Piala Malaysia 2018 yang mana skuad The Bos Gaurus menjuarai kejohanan berprestij itu.

Selangor's Mohd Faiz Mohd Nasir during the Super League match against Perak at Shah Alam Stadium last night. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. April 12, 2019.

Faiz Nasir pernah menerima jolokan 'Messi Terengganu'.

3. Faiz Nasir

Selepas bersinar bersama Terengganu FC, pemain sayap licik, Faiz Nasir memilih untuk berkelana ke Selangor FC untuk semusim pada 2019.

Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah yang ketika itu dikendalikan B Sathianathan berdepan kesukaran dalam mencari formula terbaik buatnya.

Meskipun tampil dalam majoriti aksi Liga Super, pemain yang pernah menerima jolokan 'Messi Terengganu' itu hanya menjaringkan satu gol dalam 18 perlawanan.

Dia kemudiannya memilih untuk pulang ke Pantai Timur bagi menghidupkan semula kariernya yang ketika dilanda beberapa siri kecederaan dan masalah kecergasan.

Persoalannya, adakah benar bahawa Selangor FC menjadi punca di sebalik kemerosotan prestasi yang dialami Faiz sehingga dia sudah semakin dilupakan?

Walaupun perkara itu memecah-belahkan pendapat sesama penyokong, pilihan Sathianathan untuk meletakkannya sebagai penyerang sayap memberi kesan terhadap kariernya selepas itu.

Ini kerana bekas pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti lebih gemar menurunkannya dalam posisi pemain tengah menyerang dengan kemampuannya untuk melorongkan bola.

Kini, pemain kelahiran Kelantan itu masih terikat bersama skuad Sang Penyu dengan usianya semakin lanjut sehingga menyebabkan dia semakin tersisih daripada skuad.

Latiff banyak memanaskan bangku simpanan bersama Selangor FC. Facebook

4. Latiff Suhaimi

Antara pemain yang terkenal bijak mengawal dan mengemudi benteng pertahanan pasukan, Latiff Suhaimi merupakan antara pemain awal yang dibawa RMS ke Selangor selepas mengambil alih skuad Gergasi Merah.

Sebelum menyertai Selangor, Latiff cemerlang bersama Terengganu FC yang mana dia berjaya membawa skuad Penyu ke pentas akhir Piala Malaysia 2018.

Namun nasib tidak menyebelahi Terengganu selepas tewas penalti kepada Perak FC selepas terikat keputusan 3-3 di Stadium Shah Alam, Selangor pada 2018.

Nasib sekali lagi tidak menyebelahi Latiff apabila banyak memanaskan bangku simpanan bersama Selangor selepas B Sathianathan lebih gemar menurunkan pemain import Vietnam, Michal Nguyen dan Taylor Regan.

Musim 2020, Latiff mengambil keputusan untuk meninggalkan Selangor dengan menyertai Penang FC selepas semusim bersama Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram