Bola sepak Ramadan di Gaza berubah angkara perang dilancarkan Israel


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 30 Mac 2024

Barakat terbunuh dalam pengeboman tentera Israel ke atas kediamannya di Khan Younis, Gaza, 11 Mac lalu. — Yousef Baalousheh

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.

MOATH Raja Allah dikenali sebagai salah seorang pemain utama dalam pertandingan bola sepak sempena Ramadan di Gaza. Selama enam tahun, pemain berusia 19 tahun dari Nuseirat itu telah menghimpun 12 trofi dan pelbagai penghargaan di atas skil yang dimilikinya.

Tahun ini, Raja Allah menjalani Ramadan di kem pelarian sementara di Kelab Bolasepak Al-Salah di Deir el-Balah yang terletak di tengah-tengah Semenanjung Gaza selepas keluarganya terpaksa berpindah ketika serangan Israel ke atas Gaza.

Satu-satu harapannya ialah untuk mampu membeli ayam untuk keluarganya berbuka puasa di kawasan runtuhan kediamannya yang dimusnahkan pengeboman rejim Zionis yang turut meninggalkan luka daripada serpihan di kepalanya.

BACA LAGI: Tiada sungutan, bintang bola sepak berasa diberkati dengan ketibaan Ramadan

WhatsApp Image 2024-03-30 at 06.00.44

Anak muda Palestin yang hilang tempat tinggal beraksi dalam satu pertandingan bola sepak Ramadan di Kelab Bolasepak Al-Salah di Gaza. — Al Jazeera

“Kejohanan pada Ramadan tidak lagi sama. Ia semakin kurang persaingan, semangat dan suasana perayaan seperti beberapa tahun kebelakangan,” katanya kepada Al Jazeera.

“Bukan setakat itu, kami kini hanya bermain berebutkan pakej bantuan makanan dan bukan lagi trofi.”

Lebih 1,000 orang yang hilang tempat tinggal disebabkan perang mencari perlindungan di Kelab Bolasepak Al-Salah di mana perlawanan bola sepak dan sesi latihan terhenti lima bulan lalu.

Bagi mengalihkan tumpuan keluarga yang menumpang di kelab itu daripada kekejaman perang, kelab menganjurkan pertandingan lima sepasukan ketika Ramadan.

“Dengan menganjurkan pertandingan ini, kami cuba membohongi diri kami sendiri dan mengatakan masih ada kehidupan di Gaza.

“Kami akan memberi hadiah kepada dua pasukan teratas tapi ia mungkin hanya sejumlah kecil wang atau satu pakej bantuan makanan.

“Ia menimbulkan rasa bersalah tapi kami ingin membawakan mereka sedikit kegembiraan,” kata Pengarah Aktiviti Sukan Kelab Bolasepak Al-Salah, Nabeel Abu-Asr.

WhatsApp Image 2024-03-30 at 06.00.58

Dua pasukan berhimpun di tengah padang sebelum sepak mula satu pertandingan bola sepak Ramadan di Kelab Bolasepak Al-Salah di Gaza. — Al Jazeera

Di sebalik ia tidak pun boleh dibandingkan dengan pertandingan Ramadan pada masa lalu, namun ia menawarkan momen kegembiraan singkat kepada pemain-pemain dan ahli keluarga mereka.

Ibu-ibu akan menunjukkan kebanggaan apabila anak mereka menjaringkan gol. Kanak-kanak bersorak terhadap setiap gerakan dari garis tepi padang dan pemain di atas padang pula akan meniru gaya idola mereka meraikan jaringan.

Anak muda yang berkaki ayam atau sesetengahnya memakai but koyak memperagakan skil mereka di gelanggang bersaiz padang futsal yang dikelilingi blok kediaman di satu bahagian dan satu bahagian lagi membariskan pohon-pohon tamar.

Bunyi dron-dron Israel yang berlegar-legar di kawasan itu sesekali ditenggelami sorakan penonton.

Sejurus aksi berakhir, realiti peperangan yang masih berterusan kembali mencengkam mereka.

Bagi penyokong Real Madrid berusia 12 tahun, Karam Al-Hwajri, bola sepak mengingatkannya kepada kehidupan sebelum perang.

BACA LAGI: Perancis tetap berdegil, enggan hentikan aksi untuk pemain buka puasa

WhatsApp Image 2024-03-30 at 06.01.05

Karam Al-Hwajri (kanan) menunjukkan reaksinya terhadap satu percubaan dalam satu pertandingan bola sepak Ramadan di Kelab Bolasepak Al-Salah di Gaza. — Al Jazeera

“Saya temui ketenangan di padang bola sepak,” katanya yang gemar beraksi sebagai penjaga gol tapi tidak kisah bermain di posisi lain.

“Saya tahu saya akan jadi korban, jadi saya mahu menikmati momen terakhir zaman kanak-kanak saya,” tambahnya.

Di sebalik usia mudanya, Al-Hwajri sedar dengan beban peperangan sambil menambah apa yang ditempuhi kanak-kanak di Gaza “melampaui keupayaan sesiapa saja”.

Seorang pemain berusia 16 tahun, Khalil Al-Kafarneh, telah berpindah-randah beberapa kali sejak Oktober lalu. Sepuluh ahli keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Beit Hanoon di utara Gaza tidak lama selepas perang meletus.

Kem di Kelab Bolasepak Al-Salah adalah kediaman baru mereka sejak tiga bulan lalu tapi mereka berhempas-pulas untuk meneruskan hidup dengan bekalan makanan dan air yang terhad.

Setelah bermain bola sepak selama 10 tahun, Al-Kafarneh berkata, perang telah meragut keupayaan bersukan dan skil yang dimilikinya.

“Saya jarang sekali menyepak bola sekarang. Saya seorang pelajar sekolah tinggi tapi tidak mampu meneruskan pengajian. Rumah saya hanya tinggal runtuhan. Tiada apa-apa yang tinggal,” katanya.

Cita-citanya ialah untuk mewakili Ittihad Al-Shujaiyya, salah satu kelab ternama di Gaza. Itu hanya tinggal kenangan selepas bom melenyapkan Impiannya dan meranapkan rumah kelab.

Lebih 90 pemain bola sepak Palestin di Gaza, temasuk penyerang legenda, Mohammed Barakat, turut terbunuh dalam perang dengan Israel.

WhatsApp Image 2024-03-30 at 06.01.14

Khalil Al-Kafarneh (tengah) beraksi dalam satu pertandingan bola sepak Ramadan di Kelab Bolasepak Al-Salah di Gaza. — Al Jazeera

Sebilangan stadium paling terkenal di Gaza, termasuk Stadium Al-Yarmouk dan Kelab Sukan Gaza, sama ada telah musnah atau diambil alih oleh tentera Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggelar Semenanjung Gaza “kuburan beribu-ribu kanak-kanak”.

Sejak 7 Oktober tahun lalu, serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 13,000 kanak-kanak, menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF). Beribu-ribu lagi tertimbus di bawah runtuhan bangunan dengan kebanyakannya dianggap telah meninggal dunia.

Sebilangan besar daripada mereka yang terselamat mengalami kecederaan dan menderita kekurangan zat disebabkan terputusnya bekalan makanan selain trauma peperangan.

Nadeen Isa, 7 tahun, dan keluarganya berpindah ke Kelab Bolasepak Al-Salah, Januari lalu, selepas rumah mereka di Rafah di Selatan Gaza diserbu tentera Israel.

Dia hanya dapat mengalas perut dengan makanan bertin sejak perang bermula dan mengakui teringinkan makanan kegemarannya – sandwic shawarma.

“Saya impikan untuk menjadi seorang jururawat dan seorang pemain serangan,” katanya ketika menonton satu perlawanan dari tepi padang.

“Saya terbayangkan saya lahir di negara lain supaya saya dapat bermain dan belajar seperti kanak-kanak lain. Saya rindukan kawan-kawan sekolah saya, rumah saya dan berlindung di bawah bumbungnya.” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram