Vietnam menanti Malaysia lepas kejutkan Indonesia, lambakan pilihan jadi pemangkin skuad negara


  • Podium
  • Rabu, 14 Mei 2025

Sebahagian aksi menarik yang dipamerkan oleh perejam berpengalaman negara, Azlan Alias (tengah) dalam membantu memberi mata kepada pasukan. — Facebook/PSM

SKUAD sepak takraw negara berjaya mengesahkan kemaraan ke separuh akhir acara regu selepas berjaya menewaskan Brunei straight set dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Rabu.

Beraksi di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Malaysia membuat percaturan berbeza pada set pertama dengan membawa masuk Haziq Hairul Nizam sebagai tekong dan mengekalkan gandingan Farhan Adam selaku feeder dan Azlan Alias sebagai perejam.

Permulaan yang baik ditampilkan oleh kem negara apabila mencatat kemenangan mudah 15-7 pada set pertama.

BACA LAGI: Brunei ujian terbaik skuad regu kebangsaan, elak game tak menjadi saat-saat akhir

BACA LAGI:  Kekalahan double di tangan musuh tradisi bukan penamat, Farhan Adam tekad tebus maruah Malaysia acara regu

Skuad regu negara berhasil mara ke separuh akhir dan bakal bertemu Vietnam. — Facebook/PSM

Bersambung set kedua, jurulatih tanah air, Ahmad Mohd Zin membuat pertukaran di posisi tekong dengan mengeluarkan Haziq dan membawa masuk tekong berpengalaman negara, Syahir Rosdi serta memberi kepercayaan kepada Khairul Aman Mohd Rosdi menggalas tugas sebagai perejam.

Kemasukan Syahir nyata menjadi mimpi buruk buat Brunei apabila servis demi servis yang dihasilkan olehnya berhasil menyingkirkan negara jiran itu dan mudah mara ke peringkat kalah mati dengan keputusan akhir 15-4.

Sementara itu, jurulatih negara, Ahmad Mohd Zin berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya dalam meraih kemenangan mudah ke atas Brunei.

“Sejujurnya, saya puas hati bertemu Brunei, tapi semua pasukan sekarang ini memiliki kekuatan masing-masing. Apa yang penting, kami harap momentum kemenangan ini diteruskan dan prestasi permainan ditingkatkan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kami tak kisah siapa yang akan kami lawan, sama ada Vietnam atau Indonesia. Kedua-dua pasukan ada kelebihan masing-masing. Bagi kami, yang paling penting adalah kekuatan dan persiapan pasukan sendiri.

“Sekarang ini, kami fokus satu perlawanan pada satu masa. Separuh akhir adalah keutamaan. Kalau lepas itu kami ke final dan bertemu Thailand, kami akan buat perancangan khas untuk menghadapi mereka. Tapi buat masa ini, fokus sepenuhnya adalah pada separuh akhir," katanya kepada media selepas perlawanan.

Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana skuad regu kini memiliki ramai pemain pelapis yang dijangka mampu menggantikan tonggak berpengalaman negara seperti Syahir dan Azlan.

"Kita sudah mula nampak pelapis yang berkualiti. Haziq menunjukkan prestasi yang konsisten. Dia ada semangat dan kelebihan tersendiri. Itu yang penting untuk terus maju.

"Saya lihat Khairul Aman dalam latihan pun ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki. Tapi yang penting adalah mental dan fokus, itu yang membezakan pemain biasa dan luar biasa," jelasnya.

Menjelang aksi separuh akhir bertemu Vietnam, jurulatih tersebut menegaskan bahawa pasukan tidak mahu terlalu awal memikirkan tentang final mahupun kemungkinan bertemu Thailand semula.

“Sekarang ini, kami fokus satu perlawanan pada satu masa. Separuh akhir adalah keutamaan. Kalau lepas itu kami ke final dan bertemu Thailand, kami akan buat perancangan khas untuk menghadapi mereka. Tapi buat masa ini, fokus sepenuhnya adalah pada separuh akhir," katanya.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu Vietnam dalam separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Jumaat di venue yang sama.

Terdahulu, Malaysia muncul juara Kumpulan D acara regu selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut menewaskan Nepal, Singapura dan Filipina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram